Drama adaptasi yang paling dinantikan iaitu ‘The Remarried Empress’ akhirnya menemui penonton menerusi Disney+, selepas sekian lama dinanti-nantikan peminat webtoon popular tersebut. Baru beberapa hari sahaja ditayangkan, drama romantik fantasi ini sudah mula mencuri perhatian penonton di seluruh dunia.
Malah, ‘The Remarried Empress’ dilaporkan menjadi tayangan perdana original tempatan paling banyak ditonton sepanjang masa di Disney+ secara global. Drama ini turut menduduki tempat pertama sebagai tayangan perdana judul Korea di lebih 50 pasaran termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Jerman dan Kanada.
Bagi anda yang pernah membaca webtoon asal, pastinya ada rasa ‘curious’ untuk melihat sama ada versi “live-action” ini mampu menghidupkan semula dunia Empayar Timur dan Kerajaan Barat seperti yang dibayangkan sebelum ini. Kalau anda masih berkira-kira nak mula menonton, ini antara perkara yang membuatkan ‘The Remarried Empress’ berbaloi untuk diberi peluang.

Dari Kisah Cinta, Jadi Perang Kuasa
Jangan ‘expect’ drama ini hanya berkisar tentang kisah cinta antara pasangan diraja. Di sebalik hubungan Navier yang dilakonkan oleh Shin Min-a dan Sovieshu lakonan Ju Ji-hoon, ada perebutan kuasa, permainan politik serta konflik antara dua empayar yang membuatkan ceritanya semakin lama semakin ‘complicated’.
Apa yang bermula sebagai masalah rumah tangga akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar apabila setiap keputusan watak-watak utama boleh memberi kesan kepada masa depan empayar.

Bila Maruah Lebih Penting Daripada Cinta
Antara salah satu babak yang membuatkan jalan cerita ini menarik ialah cara Navier berdepan dengan keretakan rumah tangganya. Selepas Sovieshu memilih untuk bersama Rashta yang dilakonkan oleh Lee Se-young, Navier tidak digambarkan sebagai wanita yang hanya menunggu simpati atau meratapi nasib.
Sebaliknya, beliau memilih untuk mempertahankan maruah dan masa depannya sendiri. Keputusan yang dibuatnya kemudian menjadi antara titik paling menarik dalam keseluruhan cerita.

Ada Watak Yang Buat Kita Geram!
Kalau anda jenis penonton yang suka memilih watak untuk disokong dan ada pula yang buat darah naik, drama ini memang menyediakan pakej lengkap. Konflik antara Navier, Sovieshu dan Rashta sahaja sudah cukup untuk membuatkan emosi penonton turun naik.
Namun, drama ini turut memberikan sedikit ruang untuk memahami latar belakang setiap watak, termasuk Rashta yang mempunyai sejarah kehidupan penuh trauma. Jadi, karakter yang pada awalnya nampak hitam putih sebenarnya mempunyai sisi yang lebih complicated.

Versi Drama Tak Semestinya Sama Dengan Webtoon
Ini mungkin perkara yang paling menarik buat peminat lama. Beberapa bahagian daripada webtoon asal telah diubah, dipadatkan atau disusun semula untuk disesuaikan dengan format K-Drama.
Jadi, walaupun anda sudah tahu jalan cerita daripada webtoon, masih ada beberapa perkara yang boleh membuatkan anda tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya. Dalam erti kata lain, jangan terlalu yakin anda sudah tahu semuanya.

Setiap Episod Buatkan Penonton Tertunggu
Salah satu kekuatan drama ini ialah ‘pacing’-nya yang tidak terlalu membiarkan penonton tertunggu-tunggu. Elemen romantik, politik istana dan fantasi bergerak seiring, sebelum setiap episod meninggalkan persoalan yang membuatkan kita rasa nak tekan episod seterusnya.
Ditambah pula dengan visual yang cukup cantik serta barisan pelakon seperti Shin Min-ah, Ju Ji-hoon, Lee Jong-suk dan Lee Se-young, tidak hairanlah drama ini mendapat sambutan besar sebaik sahaja ditayangkan.


BACA: Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas
Bagi yang belum pernah membaca webtoon ‘The Remarried Empress’, jangan risau kerana drama ini masih cukup mudah untuk diikuti. Tetapi kalau anda memang peminat versi asal, rasanya lebih seronok untuk melihat sendiri bagaimana kisah yang selama ini hanya dibaca dalam panel webtoon diterjemahkan ke dunia “live-action”.
Dengan empat episod yang kini sudah boleh ditonton di Disney+, ‘The Remarried Empress’ nampaknya sudah memberikan sebab yang cukup untuk kita terus mengikuti kisah Navier dan segala kekecohan di sekelilingnya. Jadi, kalau tengah mencari drama baharu yang ada romance, betrayal, politik istana dan sedikit fantasi, bolehlah masukkan yang ini dalam ‘watchlist’!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.