Sistem perniagaan yang mengamalkan konsep pemasaran pelbagai peringkat atau popular dikenali sebagai multi-level marketing (MLM) menjadi modus operandi pelbagai jenis perniagaan di Malaysia. Jika kita hendak kenal dengan perniagaan jenis ini mudah sahaja, mereka yang cuba merekrut anda sebagai rakan perniagaan baharu atau ‘downline’ akan menabur janji manis dengan segala bentuk kemewahan.
Pendapatan yang dijanjikan boleh mencecah sehingga ke lima angka dengan insentif seperti melancong ke luar negara dan juga dihadiahkan kereta mewah antara keindahan yang menjadi senjata untuk mencari individu menyertai perniagaan tersebut. Hakikatnya, yang berjaya ke atas hanyalah segelintir sahaja. Konsepnya mudah, semakin banyak ‘downline’ semakin kayalah orang yang di atas.
REMAJA menemubual Nadia Nadzaruddin,34, yang pernah terjerat dengan perniagaan ini pada tahun 2017. Diyakinkan oleh teman sendiri untuk menyertai sebuah perniagaan MLM yang fokus menjual pelbagai produk dari korset, produk kecantikan, produk kesihatan, produk penjagaan kereta sehinggalah pes makanan, dia kini menanggung beban hutang RM30 ribu dan hampir muflis kerana terjerat dengan bisnes tersebut. Segala janji yang ditabur pada awal menyertai bisnes tersebut umpama menanam tebu dipinggir bibir oleh si sahabat.
“Mulanya saya terjebak dengan bisnes MLM ini kerana mahu mencari pendapatan tambahan walaupun sudah bekerja ketika itu. Impian hanyalah mahu ada wang sampingan yang boleh dilakukan secara sambilan dan santai pada masa yang sama boleh menjana satu lagi pendapatan yang lain,” kongsinya apabila ditanya bagaimana dia boleh terdetik untuk menyertai bisnes berkonsepkan MLM.
Pendapatan yang dijanjikan setiap bulan menjadi faktor kenapa wanita kecil molek ini terpedaya dan dikaburi dengan janji manis yang ditabur. Ditambah pula dengan semangat berkobar untuk mencari pendapatan tambahan menjadikan dia meneruskan niat untuk melibatkan diri.
“Saya menyertai dengan perniagaan ini lebih kurang setahun. Pada bulan pertama, memang saya dapat wang insentif seperti yang dijanjikan dan merasa pendapatan tambahan yang sangat ekstra. Tetapi selepas itu kalau saya mahu kekalkan pendapatan seperti yang saya dapat ketika bulan pertama, saya perlu melakukan jualan barang contohnya sebanyak RM15 ribu kemudian barulah boleh dapat pendapatan yang seperti yang diperolehi ketika bulan pertama.
“Tapi bagaimana saya nak jana nilai penjualan sebanyak itu? Biasalah, dalam sistem MLM kita tak boleh buat bisnes seorang diri. Saya kena cari orang bawah, jadi bila ada orang bawah baru boleh berkembang. Sebenarnya, ketika itu saya sudah perasan yang apabila lagi ramai orang bawah yang kita dapat rekrut maka lagi banyak jualan yang boleh dibuat dalam sebulan,” ujarnya menceritakan pengalamannya.
Yang manis semua ditabur, yang pahit semua disorok. Inilah yang boleh REMAJA katakan mengenai mereka yang mahu mencari orang bawahan untuk menampung jualan mereka. Menurut Nadia lagi, segala kepayahan untuk melakukan jualan dan juga keburukan tidak diceritakan oleh individu yang merekrut dirinya. Apa yang dihujahkan adalah nilai wang yang banyak yang bakal diperoleh. Bila sudah menyertainya barulah dia tersedar yang ia tidak seindah yang dijanjikan.
Wang yang banyak menjadi janji manis mereka yang mahu merekrut orang baru sebagai downline
REMAJA tertarik untuk mengetahui keputusan nekad dirinya sampai sanggup melakukan pinjaman sebanyak RM30 ribu semata-mata untuk lebih maju di dalam perniagaan MLM. Bukan sedikit nilai wang tersebut.
“Yang mencadang untuk saya membuat pinjaman adalah orang yang merekrut saya juga, dia meyakinkan saya untuk membuat pinjaman dan ada stok saya sendiri agar tidak perlu bersusah-payah mengambil stok setiap kali ada pembelian kerana stok sudah ada dalam simpanan sendiri. Ketika itu tengah teruja dan dikaburi dengan janji manis duit yang akan diperolehi, memang saya tak berfikir panjang.
“Kesudahannya apabila tiada orang bawahan yang hendak beli memang tidak terjual produk-produk itu semua. Sebab sebenarnya yang membeli dari kita adalah orang yang direkrut sebagai ‘downline’ juga. Kalau nak tahu, ketika saya membuat pinjaman untuk membeli stok tersebut saya ada pinjaman lain yang berbaki hanya RM5 ribu sahaja, jadi dengan wang pinjaman baharu, saya tutup hutang lama dan menganggung hutang lain pula,” ujarnya dengan nada sedikit kesal atas keputusan yang dibuat ketika itu.
Ads
Menurut Nadia lagi, sahabat yang merekrut dirinya berjaya melayakkan diri untuk mendapat insentif trip pelancongan ke luar negara sebaik sahaja dia melakukan pembelian produk bernilai RM20 ribu untuk dijadikan stok. REMAJA terbayang dan tertanya-tanya, jadi apabila stok yang banyak tidak terjual, apakah yang dilakukan oleh individu yang merekrut yang dikenali sebagai upline untuk membantu downline mereka?
Jawab Nadia, “Bayangkan ketika itu saya hanya mampu menjual lebih kurang lapan produk sahaja sebulan. Upline ketika itu tidak berbuat apa-apa, hanya terus menyokong dan memberitahu berapa ramai yang perlu dicari untuk membeli. Ada kelas coaching dilakukan menerusi aplikasi whatsapp, mereka berkongsi input namun tidak ada istilah untuk mereka membantu kita mencari downline. Mula-mula rasa terkapai-kapai, tetapi selepas itu saya cuba memahami dan mencuba untuk menjual.
“Sehinggalah stok-stok semua tidak terjual. Saya guna untuk kegunaan sendiri dan beri kepada ahli keluarga secara percuma selain jual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding kos. Kesudahannya, secara jujur bila dah sampai tarikh luput, saya kumpulkan di dalam kotak dan buang di tong sampah.”
Apa hendak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Perkara yang boleh dilakukan oleh Nadia adalah bangkit untuk berdepan dengan kesilapan yang dilakukannya. Pada permulaan dia perlu membayar sehingga RM800 sebulan bagi membayar semula pinjaman, namun kini dengan bantuan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit dia hanya membayar RM350 sahaja sebulan. Jika lalai dalam melakukan pembayaran dia boleh dikenakan status muflis. Apabila nama sudah tersenarai di dalam sistem AKPK adalah sukar baginya untuk melakukan sebarang pinjaman walaupun bergaji besar.
Nadia berpesan, “Jangan sesekali tertipu dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan yang luar biasa apatah lagi dengan sistem yang perlu mencari downline. Kini, kalau saya terdengar rakan-rakan atau ahli keluarga yang mahu menyertai perniagaan MLM saya akan berpesan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang saya lakukan.”
Kepada pembaca REMAJA di luar sana, jadikan kisah wanita ini sebagai satu pengajaran agar tidak terlalu ralit melihat kemewahan yang dipaparkan sesetengah modus operandi perniagaan sehingga menjerat diri sendiri. Kejayaan itu bukan datang bergolek, duit juga tidak terbang melayang begitu sahaja. Kaji dahulu jenis perniagaan yang hendak diceburi. Konsep perniagaan yang perlu mencari downline lebih kepada menyusahkan, jika tidak berjaya merekrut orang dan ditambah pula lambakan stok yang tidak terjual, siapakah yang bakal tanggung rugi? Tepuk dada tanya selera.
*** Penulis pun pernah diperdaya teman kononnya nak keluar makan. Sekali dibawanya ke tempat ceramah MLM, disitulah ada makan-makan. Memang ramai sungguh manusia. Bermacam dakyah digunakan, kononnya jadi kaya hantar mak ayah ke Mekah. Berjaya dalam bisnes boleh memandu BMW, boleh beli rumah banglo bertingkat-tingkat. Umph! Terus penulis keluar dewan, panggil teksi dan balik rumah. Sebab kawan tu yang jemput! Tapi khabarnya, kawan tu masih lagi pakai kereta lama takde pula berganti Mercedes Benz!
Ads
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ads
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini tular di media sosial tentang seorang pempengaruh yang dikatakan menjual kek batik bertekstur kering, malah dijual dengan harga yang mahal dan tidak berbaloi.
Tidak dinafikan kek batik antara makanan pemanis mulut kegemaran rakyat Malaysia yang diperbuat daripada biskut merry dan coklat. Namun, kini resipi ini kebanyakannya telah diinovasi dengan variasi rasa coklat yang menjadikannya lebih sedap untuk dimakan.
Sebenarnya, untuk membuat kek batik ini tidaklah terlalu susah. Korang boleh buat sendiri dengan menggunakan bahan-bahan asas sahaja.
Tapi kali ini kami ingin berikan satu resipi kek batik indulgence edisi premium yang telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Muhammad Ali.
Resipi dan bahan yang digunakan ini adalah untuk loyang yang bersaiz 8 inci. So, please take note ya!
Bahan-bahan:
Kek batik
– 300gram biskut merry
– Butter ada tiga pilihan boleh pilih nak yang mana satu
* 150 gram (kalau pakai compound butter seperti buttercup atau marjerin)
* 200 gram (kalau pakai pure butter seperti lurpak/anchor/scs/ golden churn)
* kalau nak campur nisbah 1: 1
Contoh buttercup 100 gram dan pure butter 100 gram pun boleh so rasa balance tak ada rasa susu sangat
– Pukul 250gram cream cheese pada suhu bilik. Jangan pukul lama-lama, bila agak-agak tekstur cantik masukkan gula icing atau gula kastor.
– Kemudian, masukkan essen vanilla, satu sudu yogurt (pilihan) dan pukul sebati
– Pada bekas lain, pukul 125gram whipping cream dairy sampai kental. Bila dah kental gaulkan sekali dengan cream cheese tadi guna kaedah kaup balik. Jangan pakai mixer, guna spatula sahaja.
– Tuang atas lapisan kek batik dan sejukkan 30 hingga 40 minit dalam peti bahagian chiller
– Setkan dalam peti semalaman atau lebih daripada 7 jam. Wajib 7 jam ke atas sebab kita tak pakai gelatin.
Siap untuk dimakan. Selamat mencuba!
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bagi individu yang gemar menonton k-drama, pastinya korang terliur melihat adengan makan yang sering dipaparkan di kebanyakan scene dalam drama produksi mereka. Antara yang selalu dilihat adalah makanan-makanan seperti tteokbokki, kimchi, jjangmyeon dan banyak lagi.
Tidak dinafikan setiap kali melihat mereka makan, timbul rasa mengidam dan ingin cuba makanan-makanan yang mereka makan.
Tapi, sekarang dah tak susah lagi kerana terdapat banyak restoran makanan Korea yang ada di Malaysia. Selain itu, makanan segera juga turut dijual di pasar raya, tetapi korang hendaklah memastikan sama ada ia halal atau tidak.
Bagi menikmati makanan Korea tanpa was-was, korang juga boleh melakukannya sendiri di rumah. Berikut merupakan resipi jjangmyeun yang telah dikongsi oleh Syaf Kun dengan hanya menggunakan mi segera.
Foto: Syaf Kun
Bahan-bahan:
– 4-5 ekor udang yang sudah dibersihkan
– 1 bungkus mi segera, nak guna mi dia sahaja
– 2-3 inci lobak merah dipotong dadu
– 2-3 inci lobak putih dipotong dadu
– 1-2 ulas bawang putih
– 2-3 sudu besar sos hoisin
– 1-2 sudu besar air tepung jagung
– 1-2 sudu besar kicap manis
– Gula secukupnya
Cara menyediakan:
1. Tumis bawang putih sehingga naik bau
2. Masukkan kicap manis, lobak putih dan lobak merah, masak sekejap
3. Masukkan sos housin (biasanya dijual di pasaraya dalam botol kaca), gula dan air tepung jagung sikit untuk bagi pekat
Foto: Syaf Kun
4. Kemudian, masukkan udang dan angkat bila masak
5. Rebus mi segera, perencah tak perlu
6. Tuang kuah jjangmyeon di atas mi Maggie tadi dan gaulkan sekata. Siap!
Mudah sahaja kan? Rasanya masin, masam manis-manis sikit. Memang sedap. Selamat mencuba!
Benarlah, menghidupkan sunnah nabi akan memberi banyak kelebihan dan memperbaiki kerosakan malah diberi pahala.
Rasulullah ialah contoh terbaik dalam aspek kesihatan. Maka, tidak hairanlah terdapat buku bertajuk Rasulullah Is My Doctor karangan bekas pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), Jerry D. Gray. Rasulullah amat mementingkan kesihatan sehingga dikatakan sepanjang hayat baginda hanya pernah sakit dua kali.
Ini adalah cara Rasulullah menjaga kesihatan diri agar tetap sihat.
SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardhu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
2. CARA RASULULLAH MENJAGA KESIHATAN ADALAH DENGAN AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (HR. Muslim)
3. RASULULLAH TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
4. RASULULLAH MENJAGA KESIHATAN DIRI DENGAN GEMAR BERJALAN KAKI
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.
5. RASULULLAH TIDAK PEMARAH
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali.
Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wudhu’ dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.
6. SENTIASA OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakkal kepada Allah s.w.t.
7. TIDAK PERNAH IRI HATI
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
8. JADILAH SEORANG PEMAAF
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
FAKTA: *Jangan makan buah selepas makan nasi. Jangan sesekali skip makan malam. Sesiapa yang meninggalkan makan malam, dia akan dimakan usia dan kolestrol dalam badan akan berganda.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!