Sukan

Syahir Rosdi Dinobat Tekong Terbaik Dunia! Tahniah!

Share

Terbaru, tekong utama skuad sepak takraw negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi (30), secara rasmi dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), sekaligus mengesahkan statusnya sebagai antara pemain elit paling berpengaruh di pentas antarabangsa ketika ini.

Pengiktirafan tertinggi itu diumumkan oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menerusi satu kenyataan rasmi badan induk dunia berkenaan, yang turut disertakan penganugerahan Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang kepada Syahir.

Menurut kenyataan sijil tersebut, pengiktirafan berprestij itu diberikan susulan prestasi konsisten dan memukau yang dipamerkan Syahir dalam tiga kejohanan utama antarabangsa iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

“Melalui penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, beliau secara konsisten beraksi di tahap tertinggi sepak takraw antarabangsa,” tulis kenyataan berkenaan.

“Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang dalam sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta integriti kesukanan, selain peranannya dalam meningkatkan martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, sentuhan berbisa Syahir di posisi tekong bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan skuad negara, malah turut membantu meningkatkan imej dan martabat sukan sepak takraw Malaysia di mata dunia.

Selain itu, apa yang lebih membanggakan, ISTAF turut mengakui kemampuan Syahir memberikan saingan sengit serta mencabar dominasi pemain elit Thailand telah menarik perhatian meluas dalam kalangan pemerhati sukan serantau.

Sementara itu, media sukan Thailand sendiri dilaporkan mengiktiraf kehebatan Syahir dan mengangkatnya sebagai antara tekong paling digeruni dunia ketika ini, sekaligus membuktikan impak besar beliau dalam landskap sepak takraw antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE