
Ratu wushu negara, Tan Cheong Min terus mengukuhkan reputasinya apabila mempamerkan aksi konsisten dan penuh bergaya dengan menghadiahkan dua pingat emas kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang berlangsung baru-baru ini.
Difahamkan, jaguh berusia 27 tahun itu tampil cemerlang dalam acara individu gabungan nanquan, nangun dan nandao wanita, sekaligus membuktikan status beliau sebagai antara kontinjen terbaik di rantau ini.
Mengulas kejayaan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu perkongsian di Facebook menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Cheong Min.
“She delivers again. Tahniah Tan Cheong Min yang tampil sebagai juara dunia dan menepati ramalan untuk meraih pingat emas acara Nanquan Nandao Nangun (Wanita) di Sukan SEA 2025 Thailand,” tulisnya.
“Setiap gerakan di gelanggang memperlihatkan mengapa beliau berdiri sebagai juara dunia. Malaysia berbangga dengan pencapaian anda,” jelasnya lagi.
Dalam saingan individu, Cheong Min berjaya mengumpul keseluruhan 29.263 mata hasil catatan 9.743 mata dalam nanquan, diikuti 9.760 mata masing-masing bagi nangun dan nandao.
Keputusan berkenaan membolehkan wakil negara berkenaan menewaskan pencabar terdekat dari Vietnam, Dang Tran Phuong Nhi yang meraih 29.112 mata, manakala atlet Singapura, Ong Xue Ling Kassandra membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 28.579 mata.
Bagaimanapun, kejayaan Cheong Min tidak terhenti setakat itu apabila beliau sekali lagi menceriakan kem wushu negara dengan membantu skuad wanita Malaysia meraih pingat emas dalam acara berpasukan duilian bersenjata wanita.
Beliau digandingkan bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee, trio negara mempamerkan persembahan kemas untuk mencatat 9.730 mata sekaligus menewaskan pasukan tuan rumah Thailand yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.646 mata.
Sementara itu, Myanmar melengkapkan kedudukan podium acara tersebut apabila meraih pingat gangsa hasil catatan 9.606 mata, sekaligus mengesahkan dominasi Malaysia dalam arena wushu wanita pada temasya kali ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.