Teknologi

Tak Perlu MyKad Lagi, Ini Cara Nikmati Subsidi RON95 Guna TNG eWallet

Share

Tak perlu MyKad lagi, ini cara nikmati subsidi RON95 guna TNG eWallet! Mulai 30 September, rakyat Malaysia boleh menikmati pengalaman lebih mudah, moden dan telus untuk mendapatkan subsidi petrol RON95 melalui pelancaran portal BUDI Madani dan mini-app baharu BUDI95 dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Apa Itu Portal BUDI Madani?

Portal rasmi www.budimadani.gov.my dilancarkan pada 25 September oleh Kementerian Kewangan (MOF). Portal ini membolehkan rakyat menyemak kelayakan subsidi petrol RON95 serta baki penggunaan bulanan dengan lebih cepat dan mudah.

Kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion bagi menampung perbezaan harga antara RM1.99 seliter (bersubsidi) dengan harga pasaran sebenar sekitar RM2.60 seliter. Harga subsidi ini boleh dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira pendapatan, asalkan mempunyai MyKad aktif dan lesen memandu sah.

Cara Guna TNG eWallet Untuk Isi Minyak Subsidi

Bagi yang malas bawa MyKad ke stesen minyak, berita baiknya korang boleh guna aplikasi TNG eWallet sahaja! Melalui mini-app BUDI95, pembelian petrol jadi lebih ringkas:

  1. Buka aplikasi TNG eWallet dan pilih ikon BUDI95.

  2. Tekan “Buy Fuel”.

  3. Pilih stesen minyak (guna GPS lokasi pun boleh).

  4. Masukkan nombor pam & jumlah petrol.

  5. Sahkan pesanan dan buat bayaran dalam aplikasi.

  6. Kod QR akan dipaparkan – tunjukkan di kaunter.

  7. Terus isi petrol di pam pilihan.

📌 Nota: Kod QR hanya sah selama 10 minit. Jika jumlah lebih besar daripada tangki (contoh pilih RM100 tapi penuh pada RM80), baki lebihan akan dipulangkan automatik ke akaun eWallet.

Ada Had Isi Minyak Sehari?

Jawapannya, tiada had! MOF sudah mengesahkan rakyat boleh isi petrol bersubsidi lebih daripada sekali sehari. Malah, pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kuota melalui portal BUDI Madani.

Aplikasi Stesen Minyak Juga Boleh Guna

Selain TNG eWallet, skim BUDI95 turut disokong oleh aplikasi rasmi stesen minyak seperti:

  • Petronas – Setel

  • Shell – Shell App

  • Caltex – CaltexGo

  • Petron – Petron Miles

  • BHP – BHPetrol eCard

Dengan adanya portal BUDI Madani dan TNG eWallet BUDI95, urusan mendapatkan subsidi petrol kini jauh lebih senang dan praktikal. Generasi muda tak perlu risau lagi tentang bawa MyKad setiap kali ke stesen – cukup dengan scan, bayar & isi, terus dapat harga subsidi RM1.99 seliter.

BACA: Perdana Menteri Umum Harga Baru RON95, Warganegara Malaysia Boleh Nikmati RM1.99 Seliter Bermula 30 September Ini

Sumber: Sinar HarianTNG

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana