
Aktor tampan, Ikmal Amry yang mendapat jolokan ‘Jefri Nichol Malaysia’ kini menjadi bualan hangat di platform Threads. Namun di sebalik perhatian yang diterima, pelakon ini menegaskan dia tidak pernah menjadikan populariti sebagai matlamat utama dalam kerjayanya.
Bekas peserta Hero Remaja itu mengakui dirinya menceburi dunia seni kerana minat, bukan untuk mengejar nama dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Ikmal, dia tidak pernah terlalu memikirkan soal populariti, sebaliknya lebih selesa menyerahkan soal rezeki kepada ketentuan.
“Saya bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon ketika ini. Saya tidak pernah terfikir pun nama naik atau hendak kejar populariti sejak bergelar anak seni.
“Kalau takut nama naik atau tidak, saya tidak akan berkahwin awal pada usia muda. Popular atau tidak, saya tolak ke belakang dan sentiasa percaya pada konsep rezeki.
“Cuma sekarang, saya tidak rasa nama naik meledak cuma orang semakin kenal, tidak hilang dan tidak tenggelam,” katanya kepada Remaja.
Berkongsi mengenai naskhah Khianat Yang Terpilih, Ikmal mengakui drama tersebut menjadi antara titik penting dalam perjalanan kariernya apabila namanya semakin dikenali ramai.
Membawakan watak Fahim, pelakon ini bersyukur dengan penerimaan positif daripada penonton terhadap lakonannya.
“Saya pernah memegang watak utama beberapa kali dalam drama bersiri tetapi nama semakin dikenali dalam drama Khianat Yang Terpilih.
“Kebetulan saya berganding dengan idola iaitu pelakon Amyra Rosli yang mempunyai ramai peminat. Jadi, saya pun tumpang rezekinya.
“Terima kasih kepada penonton yang suka dengan lakonan saya, harap diberi peluang untuk menjayakan lebih banyak karya hebat lain,” katanya.
Terdahulu, nama Ikmal Amry menjadi tular di Threads susulan lakonan mantapnya dalam drama tersebut yang berjaya mencuri perhatian ramai.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan pujian, malah ada yang berpendapat Ikmal mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai antara pelakon pelapis lelaki yang mampu pergi lebih jauh dalam industri seni tempatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.