
L
Selepas agak kurang muncul di kaca televisyen dan menghadiri acara hiburan, Datin Eina Azman kini lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga selain memberi perhatian kepada perniagaan yang sedang dibangunkannya.
Menurut Eina, 31, rutin hariannya kini banyak dipenuhi dengan urusan suami, anak-anak serta perniagaan jamu yang diusahakan.
Malah, dia turut aktif berinteraksi dengan pelanggan menerusi sesi siaran langsung di TikTok.
“Bila bangun pagi, saya tahu saya ada tujuan. Saya ada anak, ada suami dan ada tanggungjawab yang perlu saya buat setiap hari,” katanya kepada Remaja.
Meskipun masih menyimpan kerinduan untuk kembali ke set penggambaran, Eina mengakui keutamaan hidupnya kini sedikit berubah selepas anak-anak semakin membesar.
Katanya, usia anak-anak yang kini sudah mencecah 10 tahun membuatkan dia mahu memberikan lebih banyak perhatian kepada fasa tumbesaran mereka.
“Mereka pun sudah 10 tahun. Saya rasa sekarang lebih kena fokus kepada mereka membesar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Eina berpandangan status sebagai seorang isteri bukan alasan untuk seseorang wanita berhenti bekerja atau mengejar impian sendiri.
Sebaliknya, dia melihat perniagaan sebagai ruang untuk terus belajar, berdikari dan pada masa sama memberi manfaat kepada orang lain.
“Ramai orang cakap, kenapa nak kena buat, sedangkan ada suami dan sebagainya. Tetapi bagi saya, husband is husband. Suami ada tanggungjawab dia.
“Tetapi kita sebagai isteri, kalau kita boleh buat sesuatu, why not? Selagi kita ada kesihatan yang baik, ada tangan, ada kaki dan masih sihat tubuh badan, kita boleh buat sesuatu.
“Bisnes juga boleh membantu orang lain. Jadi, dalam masa yang sama kita belajar dan boleh buat sesuatu untuk orang di sekeliling,” katanya.
Beralih mengenai dua cahaya matanya yang sebelum ini sering mencuri perhatian di media sosial, Eina berkata anak lelakinya masih mempunyai minat terhadap bidang nyanyian.
Bagaimanapun, tidak semua rakaman yang dimilikinya dikongsikan kepada umum kerana anaknya sendiri kini sudah mula berasa malu untuk muncul di media sosial.
“Anak saya suka menyanyi. Sebenarnya banyak sahaja saya rakam, tetapi saya tidak post sebab dia sendiri cakap, ‘Mommy, don’t post lah.’ Dia malu, sudah jadi big boy.
“Bagi saya, apa yang membuatkan mereka gembira, saya okay. Tetapi buat masa sekarang, biarlah anak fokus kepada pelajaran dahulu.
“Kalau mereka nak buat sesuatu untuk suka-suka, boleh. Tetapi kalau mahu serius, tunggulah apabila mereka sudah besar sedikit. Sekarang mereka masih budak dan belum tahu apa yang mereka mahu. Biar mereka explore dahulu apa yang mereka suka,” katanya.
Selain memberi ruang kepada anak-anak untuk meneroka minat sendiri, Eina dan suaminya, Datuk Seri Aiser Gurmeet Harden turut menetapkan batas tertentu dalam penggunaan media sosial dan gajet.
Jelas Eina, akaun media sosial anak-anak masih berada di bawah pengurusannya dan mereka tidak mempunyai akses kepada kata laluan akaun tersebut.
Malah, penggunaan gajet juga sudah dikawal sejak mereka kecil bagi memastikan anak-anak mempunyai rutin yang lebih seimbang.
“Dari dulu sampai sekarang, memang saya yang urus. Mereka tidak pernah tahu password dan tidak pernah buka sendiri.
“Mereka memang tidak digalakkan bermain gajet sejak kecil. Hujung minggu pun masih tidak ada gajet. Bila cuti panjang seperti summer holiday, barulah kami bagi iPad atau sebagainya.
“Daripada beri iPad, kami galakkan mereka bermain sukan seperti paddle dan aktiviti lain. Macam itu lebih baik,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.