Fesyen

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Share

Wakil Malaysia di pertandingan ratu cantik Miss World 2026, Taanusiya Chetty tampil memperagakan gaun kebangsaan bertemakan “The Pearl of Borneo” yang dicipta oleh rumah fesyen popular, Arma Couture manakala fabrik busana pula oleh Sayang Batique.

Ia bersempena segmen Miss World 2026 x Vietnam Beauty Fashion Fest XVII: Soul of Heritage anjuran organisasi Miss World pada Khamis malam yang mempertaruhkan anugerah World Fashion Designer Award bagi kategori Asia & Oceania.

Diinspirasikan daripada keindahan ekosistem lautan di sekitar kepulauan Borneo serta keunikan mutiaranya, setiap gerak-geri Taanusiya apabila menyarungkan gaun ini memperlihatkan tekstur dan kilauan manik-manik serta mutiara seakan ritma ombak di laut dalam.

“All the best, Queen…” – Pereka fesyen, Arma Abdul Rahman

Taanusiya dan Arma Couture bukan sekadar membawa secebis penceritaan mengenai keindahan alam dari Malaysia ke pentas dunia, kostum serba feminin ini juga merupakan satu cerminan kepada keanggunan dan khazanah berharga dari kepulauan Borneo.

Ahad lalu, Taanusiya mencuri perhatian dunia selepas videonya berucap dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamir tular di media sosial. Ucapan tersebut dianjurkan sempena segmen Head-to-Head Challenge di pertandingan Miss World.

“Satu yang mahu saya pesan… ia bukan tentang sejauh mana kita boleh mengubah dunia tetapi sejauh mana anda mampu menjadi perubahan itu.

“Jangan tunggu dunia berubah, jadilah perubahan. Itulah semangat yang perlu ada pada seorang Miss World.”

Selain momen ‘mic drop’ berkenaan, gadis berusia 26 tahun ini turut berkongsi kisah memilukan dimana beliau kehilangan ibu tersayang pada usia semuda 14 tahun akibat kemalangan jalan raya ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk menghadiri pengebumian ahi keluarga.

Walaupun tanpa kasih sayang seorang ibu kandung, ibu tiri Taanusiya tidak berbelah bahagi dalam menyuntik semangat dan inspirasi untuknya terus berkhidmat dan membantu masyarakat tempatan.

Antara inisiatif yang telah dilakukan oleh Taanusiya sebelum dia terlibat dalam dunia ratu cantik Miss World termasuklah menubuhkan organisasi Be The Change Malaysia pada 2022 sebelum ia didaftarkan secara rasmi dengan nama Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni.

Menerusinya, Taanusiya berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan inisiatif sekolah dalam hospital bagi membantu kanak-kanak Orang Asli.

Selain itu, organisasi berkenaan juga aktif menganjur bengkel seni untuk golongan muda autistik dan mengunjungi pesakit leukemia kanak-kanak.

Dengan penglibatannya dalam pertandingan Miss World yang memasuki edisi ke-73 kali ini, dia berharap agar organisasi ini boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa bagi mencapai lebih banyak matlamat yang dihasratkan oleh mereka.

Ini termasuklah untuk memperluaskan usahan kecerdasan emosi di negara-negara serantau seperti Kemboja dan Vietnam. Ternyata usaha ini bukanlah untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang ratu cantik tetapi fokusnya terletak pada inisiatif untuk membantu insan-insan yang memerlukan.

Sebagai info, Malaysia pernah beberapa kali melakar kejayaan membanggakan di Miss World. Rekod kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh wakil negara masih dipegang oleh Lina Teoh yang menobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada tahun 1998.

Rahimah Orchient Yayah pula berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik pada tahun 1994 manakala Deborah Henry pula melangkah masuk ke pusingan 16 terbaik pada tahun 2007.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ