
Baru-baru ini, Eunhyuk daripada kumpulan Super Junior meraih perhatian apabila sumbangan amal yang dilakukannya sebagai tanda mengenang mendiang bapanya kini direalisasikan dalam bentuk sebuah ruang permainan khas buat kanak-kanak.
Menerusi satu kenyataan, Eunhyuk atau nama sebenarnya Lee Hyuk-jae (40), telah menyumbangkan sejumlah 100 juta Korea Won (kira-kira RM304,000) kepada ChildFund Korea sempena ulang tahun kelahirannya. Sumbangan tersebut kemudiannya digunakan untuk membangunkan sebuah ruang permainan dikenali sebagai “Anthony Browne Imagination Playground” di ChildFund Siheung Da-eulim Children’s Center.
“Saya berharap kanak-kanak dapat bermain dan membaca secara bebas tanpa batasan fizikal atau persekitaran,” katanya.
“Saya juga berharap mereka dapat membina kekuatan untuk melihat dunia dengan pandangan yang positif,” ujar penyanyi itu lagi.
Difahamkan, ruang berkenaan direka sebagai kawasan mesra kanak-kanak yang membolehkan mereka bermain, membaca buku dan berehat dalam suasana lebih selesa. Menariknya, reka bentuk tersebut turut menampilkan elemen artistik yang diinspirasikan daripada karya penulis buku bergambar terkenal dunia iaitu Anthony Browne.
Menurut ChildFund Korea, ruang sedia ada di pusat berkenaan telah diubah suai dengan menggabungkan imejan serta suasana daripada buku bergambar yang dekat dengan dunia kanak-kanak. Pendekatan itu juga diharap dapat menggalakkan mereka meneroka imaginasi selain menikmati aktiviti bermain dan membaca secara lebih bebas.
Dalam perkembangan sama, Eunhyuk sememangnya aktif dalam kerja amal sejak beberapa tahun lalu. Antaranya termasuk sumbangan 100 juta Korea Won bagi bantuan COVID-19 pada 2020, diikuti bantuan kepada kanak-kanak dan golongan muda daripada keluarga memerlukan pada 2023 serta sumbangan kepada anggota bomba dan keluarga yang kehilangan insan tersayang ketika menjalankan tugas. Tahun lalu, beliau turut menyalurkan bantuan berjumlah 200 juta Korea Won untuk mangsa kebakaran hutan dan kempen pencegahan penderaan kanak-kanak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.