
Baru-baru ini, pasukan koir dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA UiTM Chamber Choir (UCC) sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas menerusi persembahan luar biasa di African Asia Pacific Choir Games 2025.
Memetik laporan RTM, pertandingan anjuran Interkultur itu berlangsung di Mauritius dari 27 September hingga 1 Oktober lalu menyaksikan UCC berjaya membawa pulang pingat emas dalam dua kategori iaitu Chamber Choir dan Equal Voice.
Dalam pada itu, apa yang lebih membanggakan, UCC turut menerima gelaran tertinggi ‘Grand Prix de Nation’ bagi kedua-dua kategori tersebut dan pengiktirafan ini dianggap eksklusif kerana hanya dianugerahkan kepada koir terbaik daripada keseluruhan pertandingan.
Selain itu, pencapaian tersebut sekaligus menunjukkan bukti bahawa UCC bukan sahaja menguasai kategori masing-masing, malah diiktiraf sebagai antara kumpulan koir paling unggul daripada 53 pasukan yang bertanding mewakili 14 negara.
Untuk pengetahuan, kejayaan ini digerakkan oleh seramai 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM di bawah pimpinan konduktor dan pensyarah, Maryann Magdalena. Mereka turut diiringi oleh Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin sepanjang pertandingan tersebut.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, berkata kemenangan itu adalah bukti kemampuan anak bangsa untuk bersaing di peringkat dunia.
“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi bukti bahawa bakat anak bangsa mampu bersaing di pentas dunia. UiTM Chamber Choir telah membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa, sekaligus mengangkat martabat UiTM dan negara tercinta,” katanya.
Sementara itu, pihak UiTM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong, termasuk pensyarah, jurulatih, fakulti serta seluruh warga UiTM yang menjadi pendorong sepanjang perjalanan UCC sehingga berjaya melakar kejayaan antarabangsa ini.
Pada masa yang sama, UCC juga menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukan hanya mengangkat nama fakulti dan universiti, tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus mengasah bakat serta berdaya saing di persada global.
Sumber: RTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.