
Siapa sangka, anak jati Sarawak sekali lagi berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa!
Kali ini, pereka fesyen menswear tempatan, Dickson Lim mencuri perhatian dunia apabila rekaannya bukan sahaja digayakan di acara fesyen paling berprestij, Met Gala, malah turut muncul di muka depan akhbar terkemuka Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ).
Berita membanggakan itu dikongsikan sendiri oleh Dickson menerusi hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, Dickson meluahkan rasa sukar mempercayai apabila melihat hasil rekaannya terpampang jelas di muka depan WSJ.
Apa yang lebih membanggakan, rekaan itu turut muncul bersebelahan ikon pop dunia, Beyoncé.
“Saya benar-benar ingat ini palsu tadi. Rekaan saya di muka depan The Wall Street Journal… bersebelahan dengan Beyoncé. Macam tak percaya,” tulisnya dalam kapsyen.
Rupa-rupanya, rekaan bespoke hasil sentuhan Dickson telah digayakan oleh
Ty Hunter yang juga merupakan perunding imej serta stylist terkenal yang sering bekerjasama dengan Beyoncé.Menurut Dickson, dia turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ty kerana membantu merealisasikan impian yang selama ini dianggap mustahil untuk dicapai.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan bakat anak Malaysia, khususnya dari Sarawak, mampu berdiri sebaris dengan nama-nama besar dalam industri fesyen antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.