
Baru-baru ini, jaguh badminton remaja negara berjaya menutup tirai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025 dengan membawa pulang dua kejuaraan pada aksi final yang berlangsung di Dewan Wawasan, Kangar, Perlis.
Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, kejayaan pertama negara hadir menerusi beregu campuran Loh Ziheng dan Noraqilah Maisarah Ramdan, sebelum pasangan beregu wanita, Low Zi Yu dan Dania Sofea Zaidi menambah satu lagi gelaran buat skuad muda negara.
Dalam pada itu, menerusi aksi final beregu campuran sesama wakil negara, pasangan pilihan kedua Ziheng-Noraqilah Maisarah mempamerkan permainan matang dan tenang biarpun tewas set pertama 20-22 kepada gandingan Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea.
Walaupun begitu, mereka bangkit dengan aksi bertenaga untuk memenangi dua set berikutnya 21-15, 21-12 sekaligus menamatkan perlawanan yang berlangsung selama 54 minit dengan kemenangan.
Tak cukup dengan itu, Dania Sofea kembali ke gelanggang dalam aksi final beregu wanita bersama rakan gandingannya, Low Zi Yu dan mereka membuktikan keampuhan apabila menumpaskan beregu adik-beradik dari Thailand, Khanaphon dan Thanaphon Deearom, straight set 21-11, 21-19.
Namun, hajat Ziheng untuk menggondol gelaran kedua tidak kesampaian apabila beliau bergandingan bersama Tan Zhi Yang dalam final beregu lelaki tetapi tewas tipis di tangan wakil Indonesia, Alexius Ongkytama Subagio-Aquino Evano Keneddy Tangka dengan keputusan 21-18, 19-21, 20-22.
Sementara itu, acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain pilihan utama dari Hong Kong, Lam Ka To tampil dominan apabila menewaskan pemain Indonesia, Radithya Bayu Wardhana 21-8, 21-9 dalam masa yang singkat.
Acara perseorangan wanita pula memperlihatkan pertarungan sengit tiga set antara pilihan utama Thailand, Tonrug Saeheng yang akhirnya berjaya menewaskan cabaran luar jangka dari pemain bukan pilihan Hong Kong, Ip Sum Yau, dengan skor 21-18, 15-21, 21-17.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.