
Baru-baru ini, jaguh skuasy negara, S. Sivasangari menamatkan kemarau gelaran selama lebih setahun apabila muncul juara Terbuka Australia 2026 yang berlangsung di Brisbane, Australia pada Ahad.
Memetik laporan Bernama, pemain ranking keenam dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni dengan keputusan straight set 11-7, 11-4, 11-8 dalam aksi final yang berlangsung di South Bank Piazza.
Perlawanan akhir yang berlangsung kira-kira 28 minit itu menyaksikan Sivasangari menguasai permainan sejak awal set pertama, sekaligus memastikan kemenangan selesa untuk merangkul kejuaraan.
Kemenangan itu turut menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu mengekalkan rekod kemenangan sempurna ke atas Stefanoni yang kini berada di ranking ke-19 dunia selepas tiga pertemuan antara mereka.
Terdahulu, Sivasangari meraih perhatian melangkah ke pentas final selepas menewaskan pemain Belgium, Nele Gilis dengan keputusan 11-8, 13-11, 11-4, sekaligus mempamerkan konsistensi tinggi sepanjang kejohanan berprestij itu.
Sementara itu, kejayaan Sivasangari turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet negara berkenaan.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada atlet skuasy negara, S Sivasangari atas kejayaan cemerlang menjuarai kejohanan Terbuka Australia 2026 di Brisbane, Australia,” katanya.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan dunia sukan tanah air, malah menjadi bukti keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi yang dimiliki atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya lagi menerusi sebuah perkongsian di Facebook.
Dalam pada itu, Sivasangari turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam kariernya selain memberi keyakinan untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia serta meningkatkan tahap permainannya di pentas antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.