
Legenda muzik tanah air, Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan pengaruhnya masih utuh apabila dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapura & Malaysia bagi Mac 2026.
Lebih membanggakan, ini merupakan kali kedua Biduanita Negara itu menyertai inisiatif berprestij berkenaan.
Bukan itu sahaja, foto gergasi Siti yang tampil anggun dalam busana tradisional rona merah turut menghiasi layar digital ikonik di Times Square, New York City, Amerika Syarikat, satu pencapaian yang pastinya membanggakan rakyat Malaysia.
Pengiktirafan ini bukan sekadar mencerminkan perjalanan seni luar biasa Siti, malah terus mengangkat suara wanita Asia Tenggara ke pentas global.
Siti tidak menyembunyikan rasa syukur atas pencapaian tersebut.
“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia adalah satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Universal Music Malaysia dan SN Legacy.
Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu, pengiktirafan tersebut menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas usia mahupun masa.
Dalam era digital yang berkembang pesat, pemilihannya sebagai wajah kempen memperkasakan wanita jelas membuktikan karya berkualiti masih relevan dan dihargai di platform penstriman global.
Sebagai figura wanita berpengaruh, Siti melihat pencapaian ini sebagai simbolik kepada semua anak seni wanita di rantau ini.
“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita ada kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperkasakan wanita melalui muzik.
Dalam masa sama, Siti turut berkongsi nasihat kepada penyanyi wanita muda yang ingin membina kerjaya mampan dalam industri muzik.
Beliau menekankan kepentingan kualiti berbanding populariti sementara, selain membina identiti seni yang konsisten.
“Jangan hanya kejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” katanya.
Siti juga mengingatkan bahawa industri muzik sentiasa berubah, dan artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta trend semasa tanpa melupakan asas seni.
Selain itu, sikap positif dan ketahanan diri juga penting dalam menghadapi cabaran, dengan peminat kekal sebagai tunjang utama perjalanan kerjaya seseorang artis.
“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.