
Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini mencuri perhatian apabila mendominasi senarai pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 dengan 14 pencalonan dalam lapan kategori.
Difahamkan, pencalonan itu merangkumi pelbagai cabang utama industri muzik termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu serta kategori kolaborasi dan album.
Selain itu, pencapaian berkenaan turut dipacu oleh album berjudul ‘Gema Bumantara’ yang memperlihatkan eksplorasi beliau terhadap muzik berteraskan elemen tradisi dan identiti tempatan, sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan AIM25.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah ‘Kesuma’ apabila lagu tersebut berjaya meraih tiga pencalonan, masing-masing bagi kategori Vokal Wanita Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.
Pada masa yang sama, ‘Pesanan Buat Diri’ turut menerima pengiktirafan menerusi tiga kategori iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Rakaman Lagu Terbaik. Datuk Seri Siti atau lebih mesra dipanggil Tokti juga tampil dominan dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik apabila empat daripada lima slot yang dipertandingkan menampilkan karya menerusi
Kesuma, Rencong, Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.BACA: Datuk Seri Siti Nurhaliza Dedah Amalkan Zikir Bismillah 5 Sebagai Pelindung Rohani Diri & Keluarga
Dalam pada itu, penyanyi berusia 47 tahun tersebut turut menerima pencalonan bagi karya kolaborasi antarabangsa menerusi
Cenderamaya, Kumbang Bunga bersama penyanyi Indonesia, Lesti serta Jenjang Cinta. Lagu raya berjudul Raya Nak Ke Mana? turut tersenarai dalam pencalonan pada edisi kali ini.Dengan keseluruhan 14 pencalonan, penguasaan Siti pada AIM25 sekali lagi memperlihatkan konsistensi figura berkenaan dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menonjolkan kekuatan vokalnya, malah mengangkat elemen muzik tradisional ke pentas lebih luas.
AIM25 yang memasuki edisi Jubli Perak dijadualkan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada Sabtu, 26 September ini. Acara berprestij itu bakal dihoskan oleh pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.