
Penyanyi Shiha Zikir mencuri perhatian ramai apabila tampil menyuarakan hasrat untuk menghadiahkan sebuah lagu khas buat Adrian Adam selepas menonton persembahan remaja itu dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2) baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir berkata, dia terus menghubungi pihak keluarga Adrian sebaik sahaja menyaksikan persembahan tersebut kerana tertarik dengan kualiti vokal yang ditampilkan.
Menurut Shiha, suara Adrian Adam memiliki keunikan tersendiri dan berjaya menyentuh hatinya sebagai seorang penyanyi.
Dalam hantaran tersebut, Shiha Zikir memaklumkan bahawa dia sudah pun menghubungi pihak keluarga Adrian Adam bagi menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan sebuah lagu.
“Semalam lepas tengok persembahan beliau, terus Shiha contact untuk hadiahkan lagu. Sedap suaranya.
“Alhamdulillah Shiha terima positive feedback dari pihak mereka,” tulisnya.
Perkongsian itu turut memperlihatkan sisi prihatin Shiha Zikir yang bukan sekadar melihat bakat Adrian Adam sebagai peserta pertandingan, tetapi juga mahu memberi peluang lebih besar kepada remaja itu untuk terus mengembangkan potensi dalam dunia seni suara.
Apa yang lebih menyentuh hati, Shiha Zikir turut mendedahkan bahawa hasrat untuk mencipta lagu itu sebenarnya pernah terlintas sebelum ini untuk salah seorang ahli keluarga Adrian Adam.
Bagaimanapun, penyanyi itu memaklumkan hasrat tersebut tidak sempat direalisasikan.
“Moga Shiha dapat realisasikan kali ni sebab sebelum ni Shiha tak sempat nak realisasikan untuk salah seorang ahli keluarga beliau.
“Kadang hidup ni lebih bermakna bila dapat buat orang lain bahagia,” luahnya lagi.
Kata-kata itu secara tidak langsung membuatkan ramai tersentuh kerana ia bukan sekadar tentang peluang dalam industri muzik, tetapi juga satu bentuk penghargaan dan sokongan buat sebuah keluarga yang sentiasa dekat di hati peminat.
Terdahulu, Adrian Adam turut menjadi bualan ramai apabila dilaporkan menerima tawaran daripada seorang komposer yang juga pemilik syarikat rakaman hanya kira-kira 30 minit selepas membuat persembahan dalam program tersebut.
Perkembangan itu sekali gus membuktikan bahawa bakat Adrian Adam mula mendapat perhatian serius daripada penggiat industri hiburan tanah air.
Dengan sokongan daripada nama besar seperti Shiha Zikir, ramai berharap Adrian Adam dapat terus melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian dan menggunakan peluang yang hadir dengan sebaik mungkin.
Bagi Shiha Zikir pula, tindakannya itu menerima pujian ramai kerana dilihat sebagai satu usaha murni untuk membantu bakat baharu bersinar, apatah lagi apabila ia datang daripada rasa ikhlas untuk menggembirakan orang lain.
Ramai netizen turut meninggalkan komen positif terhadap tindakan Shiha Zikir yang disifatkan sangat baik hati dan sentiasa menyokong bakat muda dalam industri hiburan tempatan. Ada yang menyifatkan peluang seperti ini mampu menjadi titik perubahan besar buat Adrian Adam sekiranya dimanfaatkan dengan baik.
Sumber : Threads Shiha Zikir
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.