
Pelakon, Shakilla Khoriri menzahirkan rasa bangga melihat perkembangan anak tunggalnya, Ameena Sofia, yang kini berusia tujuh tahun apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam salah satu kategori pertandingan Skate Asia 2026.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Shakilla turut berkongsi perjalanan anak kesayangannya itu yang disifatkan penuh cabaran, namun tetap membuktikan semangat juang tinggi meskipun baru berjinak-jinak dalam sukan luncur ais.
Menurut Shakilla, Ameena pada awalnya menamatkan pertandingan pertama di kedudukan kelima. Namun, sebagai seorang ibu, dia tetap berbangga dengan usaha yang ditunjukkan puterinya itu.
“Untuk first competition, Ameena dapat 5th place. And it’s okay, adik. Umi tetap bangga. Sebab Umi tahu this is not easy for you,” tulisnya.
Shakilla berkata, Ameena tidak berputus asa selepas keputusan tersebut, malah bangkit dengan lebih yakin sehingga berjaya meraih tempat ketiga pada pertandingan berikutnya.
“Tapi the next one, she came back stronger. She tried again, she pushed herself, she did her very best… and Alhamdulillah, 3rd place,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Shakilla mengakui keputusan untuk menghantar Ameena menyertai Skate Asia 2026 datang daripadanya sendiri, walaupun anaknya masih baharu mempelajari pelbagai kemahiran dalam sukan itu.
Jelasnya, matlamat utama bukanlah untuk mengejar kemenangan semata-mata, sebaliknya mahu Ameena membina keyakinan diri melalui pengalaman bertanding di pentas antarabangsa.
“Apa yang Umi boleh cakap, perjalanan ni memang bukan mudah untuk Ameena. She literally just learned all these skills, tapi Umi yang cabar Ameena untuk masuk Skate Asia competition.
“Bukan sebab Umi expect Ameena mesti menang but because Umi nak Ameena belajar berdiri atas ice tu sendiri, perform in front of a big crowd, control the nerves, jatuh bangun and still finish what she started,” katanya.
Tambah Shakilla lagi, dia sedar sukan luncur ais memerlukan kos yang tinggi. Namun, selagi berkemampuan, dia akan terus memberikan sokongan penuh demi memastikan Ameena dapat menikmati pengalaman yang mampu membentuk peribadinya.
“Yes… dunia ice skating ni memang banyak sangat belanja tapi Umi rela. As long as Umi mampu, Umi akan support.”
“Sebab Umi nak bagi Ameena peluang untuk experience something special, build her confidence, discipline, courage… and hopefully one day, achieve something that she can truly be proud of,” coretnya panjang.
Menurutnya lagi, pingat hanyalah satu bonus. Apa yang lebih membanggakan adalah keberanian Ameena untuk bangkit selepas tidak berjaya menaiki podium pada percubaan pertama.
“Medal tu bonus. Tapi tengok Ameena berani keluar seorang diri atas ice, cuba lagi lepas tak dapat podium, then come back and fight for it that means more to Umi,” katanya.
Pada masa sama, Shakilla turut menitipkan kata-kata semangat buat Ameena yang masih mempunyai tiga lagi kategori untuk disertai pada Ahad dan Isnin.
“Still 3 more categories to face this Sunday & Monday. Do your very best, adik. Don’t worry too much about winning. Just skate, enjoy the moment and show them what you’ve learned.”
“Good luck, Ameena Sofia. Umi will always be right here cheering for you,” katanya.
Untuk rekod, Shakilla berkahwin dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 sebelum berpisah pada Disember 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Ameena.
Shakilla mendirikan rumah tangga baharu bersama Mohd. Fariz pada 24 Februari 2024, manakala Fizi pula menikahi Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.