
Litar Antarabangsa Sepang masih kekal sebagai antara litar terbaik dalam sejarah Formula 1 (F1), meskipun sudah hampir sedekad tidak lagi menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.
Bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong Hanifah berkata, reputasi Sepang masih utuh dalam kalangan pelumba dan peminat sukan permotoran di seluruh dunia, termasuk generasi baharu yang tidak pernah berlumba di litar tersebut.
Menerusi temu bual bersama Fly FM, Alex berkata, kebanyakan pelumba muda hari ini membesar dengan bermain permainan simulasi dan permainan video Formula 1, sekali gus menjadikan Litar Sepang antara trek yang cukup dikenali walaupun mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Kebanyakan pemandu muda belum pernah berlumba di Litar Sepang. Tetapi mereka membesar dengan bermain permainan simulasi di PS5 dan permainan Formula 1.
“Mereka menghabiskan berjam-jam berlumba di Litar Sepang secara maya. Sejujurnya, Sepang memang sebuah litar yang sangat bagus. Sepang merupakan antara litar moden Formula 1 yang terbaik pernah dibina,” katanya.
Menurut Alex, faktor itu membuktikan Sepang masih mempunyai nilai tersendiri dalam dunia Formula 1 dan terus diingati sebagai sebuah litar ikonik.
Dalam pada itu, Alex mengalu alukan hasrat membawa Formula 1 kembali ke Malaysia. Namun, beliau menegaskan penganjurannya perlu dirancang dengan teliti memandangkan kos menganjurkan perlumbaan tersebut semakin tinggi dari tahun ke tahun.
“Bagi saya, memang sesuatu yang hebat jika kita dapat membawa Formula 1 kembali. Saya juga percaya kita tidak perlu menanggung kos penganjurannya dan itu adalah perkara terbaik. Jadi, saya fikir itu satu situasi yang menguntungkan semua pihak.
“Saya sememangnya mahu melihat Formula 1 kembali ke Malaysia untuk jangka panjang, asalkan kosnya berpatutan. Formula 1 kini semakin popular dan kos penganjurannya sangat tinggi. Saya tidak mahu melihat itu kembali jika harganya tidak masuk akal,” katanya.
Selain berkongsi pandangannya mengenai Sepang, Alex turut menyentuh prestasi semasa pasukan McLaren yang disifatkannya berada pada landasan terbaik untuk terus memberi saingan di barisan hadapan.
“McLaren kelihatan cukup kompetitif di Hungary dan saya rasa prestasi itu boleh diteruskan. Walaupun keadaan trek tidak sama sepenuhnya kerana ini merupakan litar yang lebih perlahan, saya tetap melihat McLaren berada dalam prestasi yang sangat baik,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 dari tahun 1999 hingga 2017 di Litar Antarabangsa Sepang sebelum perlumbaan itu dihentikan susulan peningkatan kos penganjuran serta penurunan kehadiran penonton.
Walaupun Formula 1 tidak lagi dipertandingkan di Sepang, litar itu masih dianggap antara yang terbaik pernah dibina kerana reka bentuknya yang mencabar, kombinasi selekoh berkelajuan tinggi serta laluan teknikal yang menguji kemampuan pelumba dan jentera.
Tidak hairanlah, sehingga hari ini Sepang terus menjadi antara litar kegemaran peminat dan pelumba Formula 1, selain sering dijadikan penanda aras bagi pembinaan litar moden di seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.