Berita

Selangor Tambah Peruntukan MamaKerja Kepada RM10 Juta, Bantu 10,000 Ibu Bekerja Tanggung Kos Penjagaan Anak

Share

Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menambah peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Program MamaKerja, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dana kepada RM10 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 10,000 ibu bekerja di negeri berkenaan dalam usaha membantu meringankan kos penjagaan anak yang semakin meningkat.

Menurut Amirudin, kos menghantar anak ke taska atau pusat jagaan merupakan antara komitmen kewangan terbesar yang dihadapi keluarga di Selangor.

Situasi itu menyebabkan ramai ibu berdepan dilema sama ada mahu meneruskan kerjaya atau berhenti kerja demi menjaga anak. Justeru, Program MamaKerja diperkenalkan sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan ibu terus kekal dalam dunia pekerjaan tanpa terlalu terbeban dengan kos penjagaan anak.

Lebih 3,800 Ibu Sudah Terima Insentif

Beliau berkata, MamaKerja merupakan antara janji Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Selangor sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dan kini terus diperkukuhkan. Sejak dilancarkan, program itu telah menerima 5,595 permohonan, dengan 3,850 ibu bekerja berjaya menerima insentif yang disediakan.

Menerusi program ini, penerima yang layak akan menerima insentif RM1,000 yang disalurkan melalui aplikasi Nine. Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban ibu bekerja yang mempunyai anak kecil dan memerlukan khidmat taska atau pusat jagaan. Dalam masa sama, Amirudin menyifatkan program itu sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita sebagai tulang belakang keluarga dan antara enjin ekonomi Selangor.

Permohonan Baharu Dibuka Ogos Ini

Permohonan bagi fasa baharu Program MamaKerja akan dibuka pada Ogos ini melalui aplikasi Nine. Program ini terbuka kepada ibu yang sedang bekerja, mempunyai anak berumur enam tahun ke bawah, serta berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.

Amirudin turut menegaskan bahawa penambahan peruntukan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menunaikan janji kepada rakyat serta memperkasa lebih ramai wanita untuk terus aktif dalam dunia pekerjaan tanpa dibebani kos penjagaan anak yang tinggi.

Sumber : Facebook Menteri Besar Selangor Amirudin Shari

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Darwisy