Setahun dua ini merupakan satu ujian yang begitu getir buat seluruh masyarakat dunia disebabkan wabak pandemik yang memberi kesan pada kehidupan harian kita.
Ramai yang mengalami tekanan dan depress disebabkan daripada hilang pekerjaan dan sumber pendapatan hidup bagi individu dewasa yang sudah bekerja. Atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia pelbagai bantuan dilakukan bagi membantu mereka yang terjejas antaranya #BenderaPutih dan bantuan makanan yang diletakkan dibeberapa tempat. Bagi mereka yang malu dan berat hati untuk mengibarkan bendera putih mungkin boleh pergi ke beberapa tempat ini. Bantuan ini khas buat mereka yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera mendapatkan bantuan yang sepatutnya.
Dalam satu perkongsian, seorang penguna facebook dengan nama Nur Firdaus menyenaraikan lima tempat yang bolah anda dapatkan bantuan makanan.
1. YAYASAN FOOD BANK
Ini merupakan inisiatif daripada Yayasan Food Bank Malaysia.
Jika anda pelajar Universiti Awam, Food Bank menyediakan keperluan makanan buat anda menerusi program Food Bank Siswa.
Cara pemberiannya adalah menerusi Food Pantry (bilik simpanan makanan kering) di dalam universiti atau Central Kitchen (mengedarkan makanan yang dimasak kepada pelajar).
Untuk senarai universiti yang ada menyediakan food bank, bolehlah rujuk DI SINI.
Ads
2. GEROBOK KASIH PETRONAS
Gerobok Kasih Petronas mempunyai konsep yang sama seperti food bank.
Di Petronas tertentu, anda boleh mendapatkan bekalan makanan sebagai contoh di Johor, di Petronas Desaru, Petronas Kempas Lama, Petronas Puteri Wangsa dan Petronas Taman Austin Perdana.
3. PANTRI KOMUNITI AYAM BRAND
Ini merupakan inisiatif daripada syarikat Ayam Brand Malaysia yang menyediakan pantri makanan kering untuk seluruh rakyat Malaysia.
Terletak di seluruh Malaysia, namun setiap satu negeri diletakkan satu lokasi pantri.
Ads
Senarai lokasi dan maklumat lanjut mengenai Pantri Komuniti Ayam Brand ini boleh rujuk DI SINI.
4. ZERO HUNGER PROGRAM
Inisiatif ini merupakan tajaan Yayasan Brainy Bunch dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malakat Mall.
Namun untuk ini, anda akan disaring. Mereka yang berjaya melepasi proses saringan akan terus diberikan bantuan.
Permohonan dan maklumat lanjut boleh rujuk DI SINI.
5. PROJEK GEROBOK REZEKI
Ads
Projek Gerobok Rezeki ini hasil daripada komuniti masyarakat setempat dan berada di seluruh Malaysia. Berikut antara yang sempat Muhammad Firdaus kumpulkan.
i. Kelantan – SMK Kota (Kota Bahru)
ii. Selangor – Surau Al-Ansor (Seksyen 2, Shah Alam), SMK Telok Gadong (Klang), PPR Seri Alam, PPR Cheras, SMK Taman Selayang (Gombak), Masjid Ara Damansara.
iii. Pulau Pinang – Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
iv. Johor – SMK Tun Habab (Kota Tinggi), Masjid An-Nur Taman Cendana ( Pasir Gudang)
v. Perak – SMK Kampong Pasir Puteh (Ipoh)
vi. Putrajaya – Kedai MAIWP (Presint 5)
vii. Kuala Lumpur – PPR Kuala Lumpur, SK Datuk Keramat
viii. Negeri Sembilan – Masjid Qariah Ibnu Khaldun Lavender Height (Seremban)
ix. Melaka – Masjid An-Najwan Kampung Cheng
x. Sarawak – Masjid Darul Husni Warrahmah (Taman Hussein/Rahmat, Kuching), Masjid Darul Furqan (Taman Malihah, Kuching).
xi. Pahang – Masjid Al Hidayah Permatang Badak (Kuantan)
xii. Terengganu – Uitm Kampus Dungun
xiii. Kedah – Masjid Sultan Badlishah (Sintok), SK Tandop Besar (Kuala Nerang)
Menerusi satu perkongsian di group aplikasi WhatsApp, berikut merupakan senarai pusat food bank yang boleh anda dapatkan bantuan:
Alhamdulillah, masih ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati membantu. Diharap inisiatif yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan menghilangkan rasa gusar golongan yang terjejas.
Pastinya ketika ini media sosial sedang viral dengan tindakan seorang pelajar dari Universiti Malaya, Wong Yan Ke yang membuat “hal” ketika menghadiri hari konvokesyennya sebentar tadi. Jika semua pelajar menantikan saat indah ini selepas penat lelah belajar hingga bergelar graduan namun nampaknya tindakan Wong Yan Ke menongkah arus apabila membawa naik placard meminta Naib Canselor UMDr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan ekoran didakwanya memberi ucapan agak rasis ketika Kongres Maruah Melayu berlangsung minggu lalu.
Di twitter ketika ini mempersoalkan tindakan “beraninya” malah netizen menyifatkan ia sebagai tindakan tidak patut apatah lagi majlis konvokesyen itu dihadiri oleh ibu bapa.
Baiklah sebelum korang buat speku tentang hal ini lebih lanjut termasuk mungkin tertulis kata-kata tidak baik ekoran tindakannya, inilah jawapan mengapa pelajar ini membuat tindakan drastik ketika berada di atas pentas.
Nasihat REMAJA, berfikirlah dengan baik. Setiap orang mempunyai alasan dan asbab mengapa mereka melakukan sesuatu tindakan. Jangan keruhkan situasi dengan komen-komen yang tidak sepatutnya. Chill bro!
Saya telah membuat keputusan untuk menunjukkan placard pada majlis konvokesyen hari ini sebagai bantahan sekeras-kerasnya terhadap ucapan Naib Canselor beberapa hari lalu yang berbau perkauman dan bersifat rasis. Mungkin ada di antara kalian hairan, sama ada semua ini berbaloi pada majlis konvokesyen mungkin yang pertama dan terakhir bagi saya, hanya kerana ingin menunjukkan ketidakpuasan.
Saya harap protes ini tidak dilihat secara cetek semata-mata. Mesej di belakang keputusan ini adalah, apabila mahsasiswa/i atau para pensyarah mendapati seseorang pemimpin itu tidak berkelayakan, maka kita mempunyai hak yang sah untuk mengkritik dan meminta supaya individu tersebut memikul tanggungjawabnya dan memberikan penjelasan kepada kita.
Saya pernah berbincang dengan beberapa orang pensyarah dari Universiti Malaya tentang Kongres Maruah Melayu. Sebenarnya mereka turut berasa terkejut dan malu dengan ucapan Naib Canselor pada hari tersebut. Mereka menentang perbuatan beliau yang menyalahgunakan nama Universiti Malaya untuk tujuan agenda parti politik, malah mempersoalkan bukti akademik yang menyokong tuntutan beliau dalam kongres tersebut. Apa yang lebih menyedihkan ialah kritikan-kritikan ini hanya boleh berlaku di belakang pentadbir, mereka tidak berkuasa untuk mempersoalkan kebertanggungjawapan Naib Canselor terhadap kesilapannya. Sampailah pensyarah-pensyarah mula bertanya sama ada organisasi gerakan mahasiswa/i akan mengambil tindakan kali ini.
Apakah ini semua salah pensyarah-pensyarah?
Bukan sepenuh-penuhnya. Tapi, ia telah mencerminkan masalah struktur universiti selama beberapa dekad ini, iaitu cara pentadbiran universiti yang bersifat pengurusan berpusat. Dari awal lagi jawatan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor semua dilantik oleh menteri, dan kemudian Naib Canselor diberikan kuasa untuk membuat pelantikan ahli akademik. Atas kebimbangan bahawa mereka akan ditindas dan dikenakan hukuman ataupun dipaksa meletakkan jawatan. Meskipun Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pernah bangga mengatakan bahawa beliau telah mengembalikan autonomi kepada universiti, tetapi kini empat universiti awam pula dipergunakan untuk menganjurkan kongres rasis ini sebagai balasan terhadap agenda politik konservatif UMNO-PAS.
Ini merupakan satu amaran di depan mata kita yang tidak patut diabaikan lagi. Begitu jelas lagi nyata bahawa ahli politik hanya akan membelakangi prinsip integriti sekiranya konflik berlaku terhadap kepentingannya. Oleh itu, sebagai seorang warga universiti, setiap mahasiswa/i mahupun pensyarah bertanggungjawab dalam proses pendemokrasian kampus. Hak dan kuasa patut datang daripada kita, dan hanya melalui prosedur pemilihan yang demokratik, barulah kita dapat memastikan akauntabiliti pemimpin universiti kita, seterusnya memastikan hak individu terlindung dan membatasi isu penyalahgunaan kuasa.
Seluruh lapisan masyarakat sememangnya memandang tinggi kedudukan dan pengaruh menara gading. Pendirian pihak universiti pasti memberikan pengaruh yang besar dalam pembentukan pemikiran masyarakat. Akan tetapi, tidak tersangka pula Naib Canselor Universiti menyokong kemungkinan dan keberkesanan dasar apartheid, dan mendalamkan prasangka tanggapan buruk sesama kaum dan menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.
Selaku seorang ahli elit, Naib Canselor seharusnya memahami bahawa naratif teori kontrak sosial dalam falsafah politik negara kita telah diputarbelitkan oleh politikus Malaysia selama ini. Kontrak sosial seharusnya diterima sebagai keterangan hak dan kewajipan antara individu masyarakat dengan pihak kerajaan. Kontrak sosial bukannya seperti kontrak perdagangan yang menjual-beli kepentingan kaum-kaum, misalnya kedudukan dan hak istimewa bumiputera diiktiraf dengan syarat kewarganegaraan diberikan kepada yang bukan bumiputera.
Kontrak sosial adalah semangat yang terbentuk atas dasar konsesi dan etika masyarakat melalui proses renungan dan pengukuhan (reflective endorsement). Proses renungan ini mestilah disampingkan rasional, untuk memikirkan cara pengukuhan dan pembaikan sistem sedia ada untuk menerapkan kerjasama antara anggota masyarakat supaya menuju ke arah pembentukan masyarakat yang saksama. Oleh demikian, kita tidak seharusnya menindaskan hak-hak pihak lain semata-mata untuk membela kepentingan pihak sendiri. Ini bercanggah dengan prinsip kesaksamaan.
Sebagai seorang jurutera, Naib Canselor seharusnya bertindak dengan lebih praktikal, seharusnya dapat memahami bahawa ini semua propaganda ahli politik yang sengaja menggambarkan kaum Cina sebagai lawan dalam bayangan yang gagah di bidang ekonomi. Pada hakikatnya, bukan kalangan umum yang mendapatkan pengagihan terbesar kek ekonomi kta, tetapi korporat-korporat gergasi. Anggota masyarakat yang hidup di bawah garis kemiskinan tidak membezakan identiti kaum. Sebagai seorang warganegara Malaysia, Naib Canselor seharusnya mampu menghayati kelebihan masyarakat majmuk kita, manakala prinsip saling menghormati, prinsip kebebasan dan kesamarataan adalah dasar yang mewujudkan keharmonian. Oleh yang demikian, Naib Canselor tidak harus menyokong pandangan politik yang menguar-uarkan dasar berat sebelah.
Saya memahami bahawa isu perkauman di Malaysia tidak mungkin mempunyai penyelesaian dalam masa singkat akibat rangka kerja politik yang berbaur perkauman telah lama mengeruhkan keadaan, walaupun di bawah panji “Malaysia Baharu” yang dinaungkan kerajaan PH. Pada masa genting sebegini, bukankan pihak Universiti harus memainkan peranannya? Pihak Universiti seharusnya berperanan dalam menggalakkan saling menghormati, kemuafakatan dan keharmonian dalam budaya majmuk, dan mempertahankan nilai sejagat yang berhak dinikmati semua orang. Menara gading adalah tempat menimba ilmu dan kebenaran, bukankah itu tanggungjawab kita untuk mendidik rakyat kita supaya lebih rasional, kritis dan berdikari dalam pemikiran, supaya menjauhi kejahilan? Sesungguhnya peruntukan Universiti juga berasal daripada percukaian masyarakat, maka kita seharusnya lagi membalas jasa budi baik masyarakat dengan menggalakkan pembaharuan dan pembaikan yang mempertahankan kesaksamaan。
Naib Canselor tidak dapat melaksanakan tanggungjawab beliau seperti yang dinyatakan di atas, sekiranya beliau masih lagi mempunyai kewarasan selaku seorang intelektual yang bertanggungjawab, saya meminta budi baik beliau untuk meminta maaf atas keterlanjurannya dan meletakkan jawatannya.
Selain saya, saya yakin bahawa masih terdapat majoriti yang belum bersuara untuk menyanggah pendapat anda serta ahli-ahli politik yang lain. Saya juga memahami kesukaran dan keberanian untuk membawa perubahan. Usaha ini memerlukan kesabaran dalam proses penerangan untuk meyakinkan, ketabahan untuk menghadapi risiko, ketidaktentuan dan cabaran yang diajukan daripada pihak perkauman yang konservatif. Pihak konservatif ini hanya tahu untuk melemparkan stigma dan dakwaan yang berasas, mengapi-apikan ketegangan, dan tidak pernah rasional untuk dibawa berbicara.
Seperti ujaran John Rawls dalam karyanya yang berbunyi, usaha untuk mengecapi kesaksamaan seimbas keadaan kita jatuh cinta, kita mungkin akan dilukakan, tetapi kita tidak menyerahkan diri daripada terus bercinta atas sebab risiko ini. Kerana kesaksamaan dan kasih itu adalah nilai yang penting sekali dalam hidup kita, hidup kita lebih bermakna sekiranya nilai-nilai ini dapat kita kecapi!
Saya percaya, asalkan kita bersedia untuk berkhidmat, dunia kian menjadi baik. Walaupun perubahan yang dicapaikan tidak sebesar yang kami harapkan, dan berkemungkinan besar kami tidak dapat melihat impaknya dalam tempoh yang pendek. Tetapi, bukan ke reformasi dicapaikan dengan usaha dari semasa ke semasa, sedikit-sedikit, lama terjadilah bukit. Mengambil contoh insiden 509, rakyat Malaysia mengguna masa 2 dekad untuk menukar kerajaan BH yang korup dan rasuah. Saya percaya bahawa jikalau rakyat Malaysia boleh sentiasa memperkasa diri, masa itulah rakyat tidak perlu bergantung kepada parti-parti politik untuk membuat perubahan.
Saya sesungguhnya percaya, ia masih berbaloi sekiranya kita berusaha untuk menegakkan nilai-nilai kebenaran! Sekiranya kita berusaha menyebar pegangan kami supaya orang ramai dicerahkan dengan kepentingan sistem politik dan masyarakat yang bebas dan saksama, maka kita boleh bentuk masyarakat yang ideal maka adil.
Sumber : Fb Wong Yan Ke
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Satu demi satu bencana alam yang terjadi di muka bumi sepanjang tahun 2020 ini dan terbaru, ratusan buah rumah dan lima bandar musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).
Kebakaran yang melanda bandar Oregon itu melaporkan sekurang-kurangnya tiga maut dan disifatkan paling bahaya sehingga meragut nyawa penduduk setempat serta mengakibatkan kemusnahan besar.
Menurut Astro Awani, sehingga kini anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan api yang marak sehingga menyebabkan lebuh raya utama ditutup akibat asap tebal. Penduduk di daerah barat Oregon diarahkan berpindah segera bagi mengelakkan sebaran risiko keselamatan.
Telah tular gambar di media sosial masyarakat di AS menyaksikan langit berwarna oren disebabkan oleh asap kebakaran hutan yang menghalang sinaran cahaya matahari.
Pada awal tahun ini kita dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku di Australia dan kini, ia berlaku pula di Amerika Syarikat. Sama-samalah kita doakan agar bumi kembali sihat dan terhindar daripada bencana.
Sebagai seorang manusia, kitalah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memelihara kehidupan alam sekitar.
Petang ini, umat Islam berpeluang untuk menyemak arah kiblat yang tepat bila mana matahari akan berada tepat di atas Kaabah pada jam 5.16 petang ini.Penentuan arah kiblat melalui fenomena Istiwa Adzam ini adalah peluang terbaik untuk kita menyemak adakah arah kiblat kita selama ini tepat khususnya di kediaman kita duduki kini.
Dalam pada menantikan masa Istiwa Adzam, tentu ramai di antara kita tertanya-tanya adakah sah solat kita selama ini kita tidak mengikut arah kibat yang betul atau tepat?
REMAJA kongsikan penulisan bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang kini Menteri Agama, Dato Zulkifli Mohamad Al Bakri yang pernah disiarkan di page Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 2017 mengenai sesetengah aplikasi dalam telefon yang dikatakan tidak tepat menentukan arah kiblat. Adakah sah solat kita atau perlukah di qada jika tersalah arah kiblat?
Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan.
Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur’an al-Kareem:
{فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ} Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya. (Al-Baqarah ayat 150)
Tafsir Ibnu Kathir juga ada menyebut bahawa ayat tersebut itulah arahan Allah kepada Rasulullah s.a.w. supaya beliau menghalakan mukanya kearah Masjidil-Haram kemana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghalakan muka mereka kearahnya dimana sahaja mereka berada.
Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah” (HR Bukhari : 1/145)
Adakah Perlu Qadha Solat Jika Didapati Salah Qiblat?
Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua qaul (pendapat):
Qaul pertama menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap kearah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya.
Qaul kedua pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.
Salah satu qaul dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu qadha solat kerana adalah harus untuk berijtihad untuk menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain.
Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:
Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi shalat yang telah dilakukan.
Dalam Durur al-Hukkam pula dinyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki.
Secara kesimpulannya, isu penentuan arah kiblat adalah merupakan perkara ijtihadiyyah dan bersifat zhanniy sahaja. Arah kiblat yang ditentukan oleh pasukan falak syar’ie adalah berdasarkan kaedah-kaedah teknologi moden menggunakan peralatan.
Untuk memudahkan umat Islam, beberapa pihak yang pastinya berniat baik telah mengambil inisiatif mencipta beberapa aplikasi untuk telefon bimbit bagi memudahkan mereka menentukan arah kiblat solat. Namun apabila diselidik, ternyata banyak aplikasi yang didapati tidak menunjukkan arah kiblat yang tepat, bahkan jauh berbeza daripada arah kiblat yang sebenar.
Maka persoalan samada solat yang dilakukan berdasarkan arah kiblat yang dientukan aplikasi tersebut sah ataupun tidak, dan adakah perlu qadha solat tersebut. Kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang disebut dalam al-Qur’an al-Kareem: يريد اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ Maksudnya: Allah SWT ingin memudahkan kamu, dan tidak mahu menyusahkan kamu.
Firman Allah SWT yang lain:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ Maksudnya: Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT semampu mungkin. (At-Taghabun: 16)
Walaupun begitu jika hanya satu atau dua waktu yang tersilap, kami syorkan untuk diqadha. Tetapi, jika sudah begitu lama dan bertahun, maka kami berpendapat ianya dimaafkan dan tidak perlu qadha.
Peristiwa Istiwa A’dzam
Peluang Menyemak Ketepatan Arah Kiblat Menggunakan Kaedah Tradisional.
Bahan² diperlukan:
1. Kayu lurus (sebaiknya yg ada tapak@boleh berdiri tegak).
2. Masking Tape.
3. Pen Marker.
Cara-cara:
1. Pada 27 Mei
2. Pacakkan/letakkan kayu lurus tersebut di kawasan yg ada sinaran matahari (ada bayang²).
3. Pastikan hari tidak mendung/hujan.
4. Tepat jam 5:16 petang.
5. Lekatkan masking tape lurus mengikut bayang² kayu tersebut.
6. Gunakan pen marker untuk tulis/tandakan arah kiblat.
7. Bayang² adalah ke arah timur, maka kiblat adalah yg di arah bertentangan.
8. Selesai tanda arah kiblat yang tepat.
Penerangan:
Fenomena Istiwa A'dzam ialah kedudukan Matahari tepat berada di atas Kaabah pada 27 Mei* (2020 adalah Tahun Lompat) pada jam 5:16 petang (waktu Malaysia) *Pada tahun biasa, berlaku pada tarikh 28 Mei.
Pada waktu yang sama, di Mekah, iaitu di Kaabah (jam 12:16 tengah hari waktu Mekah) berlaku fenomena 'Hari Tanpa Bayang' kerana matahari tepat berada di atas Kaabah.
Istiwa A'dzam berlaku 2 kali dalam setahun iaitu pada 28 Mei jam 5:16 petang dan 16 Julai jam 5:28 petang. (Leap Year: 27 Mei & 15 Julai).
p/s: Setelah siap tanda arah kiblat, bolehlah kita semak ketepatan Apps Arah Kiblat di smartphone yang sering kita ragu² tu (tertakluk juga keadaan fungsi GPS di peranti dan gangguan magnet). #SemakArahKiblat Sumber : JAKIM / Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!