Berita

“Saya Tak Harap Dia Jadi Juara” –A. Aida Mahu Azeva Fokus Nyanyian, Akui Anggrek Layak Bergelar Juara TTMM2

Share

Walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam program Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2), penerbit terkenal, Datuk A. Aida menganggap penyertaan anaknya, Azeva sebagai satu langkah besar dalam membina kerjaya seni yang lebih kukuh.

Malah, A. Aida mendedahkan dia sudah mempunyai perancangan tersendiri buat masa depan puteri keduanya itu dan mahu Azeva memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian berbanding lakonan.

Nyanyian Jadi Keutamaan

Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 56, kerjaya sebagai penyanyi dilihat lebih sesuai untuk Azeva, selain beberapa perancangan muzik baharu yang sedang diatur buat anaknya itu.

“Saya memang minta dia fokus kepada nyanyian sebab berlakon saya kurang sarankan. Kalau berlakon drama bersiri 26 episod, tiga bulan kena ‘berkampung’ di set (penggambaran).

“Masa untuk diri sendiri dan keluarga pun tiada. Tetapi kalau menyanyi (buat persembahan), pergi dua jam sahaja sudah boleh balik.

“Cuma jika terbabit dalam projek filem saya bagi keizinan sebab itu skrin besar selain peluangnya juga berbeza,” katanya.

Bangga Walaupun Bukan Juara

Mengulas mengenai pencapaian Azeva atau Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, yang berjaya mara ke pentas akhir sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat, A. Aida mengakui langsung tidak berasa kecewa dengan keputusan tersebut.

Sebaliknya, beliau berbangga kerana Azeva berjaya membuktikan kemampuannya untuk bersaing sehingga ke peringkat final.

“Alhamdulillah, sebagai ibu merangkap pengurus apa-apa keputusan pun saya tetap berbangga dengan pencapaian Azeva yang mampu mara dan melangkah ke malam kemuncak ini.

“Saya memang tak mengharapkan juara atau apa-apa nombor. Apabila diumumkan di tempat keempat, saya cuma kata okey sahaja. Langsung tak ada perasaan terkilan atau kecewa sebab semua finalis terbaik,” ujarnya.

Anggrek Sememangnya Layak Bergelar Juara

Dalam masa sama, A. Aida turut mengakui kemenangan Anggrek, anak kepada penyanyi Adira Suhaimi, adalah sesuatu yang wajar berdasarkan bakat dan komitmen luar biasa yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurutnya, setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri yang menjadikan saingan musim ini lebih menarik.

“Bagi saya anak Adira ini sangat istimewa. Bila dia naik pentas, kita orang tua pun boleh terpegun. Cik B pula sentiasa tampil dengan idea persembahan yang hebat, manakala Husain memiliki vokal mantap.

“Pertandingan ini juga bukan semata-mata melihat soal suara atau vokal, barisan juri mengadili persembahan secara keseluruhan,” katanya.

Azeva Turut Akui Rakan Finalis Lebih Layak

Sementara itu, Azeva sendiri menerima keputusan pertandingan dengan hati yang terbuka dan mengakui rakan-rakan finalis lain telah menunjukkan usaha yang luar biasa sepanjang 10 minggu pertandingan berlangsung.

“Saya sendiri cakap tak nak jadi juara. Saya nampak usaha finalis lain termasuk Anggrek, Cik B, Hussain, serta rakan lain 10 kali ganda lebih banyak berbanding saya.

“Anggrek pagi, petang, siang dan malam berlatih. Cik B pula sentiasa memikirkan konsep setiap idea persembahan dari A sampai Z. Saya memang nak mereka menang sebab mereka memang layak.

“Sudah tentu saya sangat gembira untuk Anggrek kerana dia sememangnya layak bergelar juara,” ulasnya.

Bakal Tampil Dengan Single Baharu

Tidak terhenti di situ, A. Aida turut berkongsi bahawa beberapa projek seni sudah disusun buat Azeva selepas tamat TTMM2.

Antaranya termasuk rakaman semula lagu

Sejiwa versi tersendiri yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan serta lagu runut bunyi filem lakonannya yang bakal dilancarkan sekitar Oktober nanti.

“Banyak projek untuk Azeva bakal direalisasikan selepas ini terutama menghasilkan lagu duet bersama penyanyi, Zaki Yamani.

“Bagi saya, penyertaan dalam TTMM2 menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Azeva kepada khalayak.

“Saya percaya dia mempunyai pakej lengkap untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi,” tambahnya.

Dengan perancangan yang telah disusun rapi dan sokongan penuh daripada ibunya yang juga pengurus, perjalanan seni Azeva dilihat semakin jelas dengan fokus utama kini terarah kepada dunia nyanyian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath