
Pasangan pempengaruh, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid dan Marissa Dania Hakim kini sah bukan lagi suami isteri selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan perkara tersebut hari ini.
Menerusi laporan media tempatan, keputusan itu disahkan oleh Hakim Syarie Nadia Khamis menerusi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang berlangsung di mahkamah berkenaan.
Ketika ditemui selepas prosiding, Aslam, 27, menyifatkan segala keputusan yang dibuat mahkamah sepanjang perbicaraan yang dilalui sebagai ketentuan terbaik buat semua pihak.
Bagaimanapun, bapa kepada empat cahaya mata itu enggan mengulas lanjut mengenai jumlah talak yang dijatuhkan terhadap Marissa.
“Tidak apalah, itu (jumlah talak) saya tak boleh nak ulas lebih lanjut dan tidak perlu. Apapun, insya-Allah saya doakan yang terbaik buat Marissa.
“Semoga apa yang sudah berlaku ini menjadi pengajaran buat kita berdua dan untuk semua orang yang tengok. Itu sahaja dan saya tidak ada apa-apa nak komen lagi, terima kasih,” katanya.
Untuk rekod, pada Mei tahun lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Perkahwinan tersebut menjadi perhatian ramai apabila difahamkan Aslam ketika itu masih berstatus suami kepada Umisya Mazlan. Malah, perkahwinan berkenaan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertama serta keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Aslam yang diwakili peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri dilaporkan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk terhadap Marissa pada awal Mac lalu.
Sebelum ini, Muhammad Ammar dilaporkan berkata anak guamnya pernah melafazkan dua kali lafaz cerai dan rujuk kepada Marissa pada September 2024 sebelum kembali rujuk pada bulan yang sama.
Aslam juga difahamkan pernah melafazkan cerai kali kedua terhadap Marissa pada April tahun lalu sebelum mereka kembali rujuk semulaj.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.