
Murid Orang Asli suku Semai, Muhamad Nazirul Hakim Marzuky, membuktikan bahawa disiplin dan usaha yang konsisten mampu membawa kejayaan apabila dinobatkan sebagai johan kategori lelaki pertandingan hafazan pada Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA) Sekolah Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2026.
Lebih membanggakan, murid berusia 12 tahun dari Batu 12, Gombak itu berjaya menghafaz 22 surah lazim hanya dalam tempoh kira kira dua bulan, sekali gus menghadiahkan kemenangan yang tidak pernah disangkakannya.
Menurut Muhamad Nazirul Hakim, rutin mengulang hafazan setiap hari selepas menunaikan solat Subuh menjadi faktor utama yang membantunya mengingati setiap surah dengan lebih baik.
“Saya menghafaz setiap hari selepas solat Subuh hingga matahari terbit. Alhamdulillah, saya hanya mengambil masa kira kira dua bulan untuk menghafaz 22 surah lazim termasuk al Fil, al ’Alaq, at Tin dan an Nas.
“Kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk menghafaz 30 juzuk al Quran sekurang kurangnya pada tahun depan,” katanya kepada pemberita.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, minatnya terhadap al Quran mula bercambah sejak Tahun Dua hasil galakan ibunya, Kamsiah Bah Aden, 45, seorang suri rumah, sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada hafazan.
Anak kepada pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Marzuky Agus Azlan, 42, itu turut mempelajari taranum Giharkah, Kurdi dan Hijaz bagi memperelokkan bacaan al Quran.
Dalam masa sama, beliau mengakui kejayaan tersebut tidak akan dikecapi tanpa bimbingan dua gurunya,
Masiswandi Muhamad dan Nuruddin Suhaimi, yang sentiasa memberi tunjuk ajar serta dorongan untuk meningkatkan mutu bacaan dan hafazannya.“Walaupun perlu membahagikan masa antara persekolahan dan hafazan, disiplin mengulang bacaan setiap pagi menjadi kunci kejayaan saya,” katanya.
Sementara itu, johan kategori perempuan,
Nur Dalia Eryna Abdul Halim, 12, dari Batu 7, Gombak, mengambil masa kira kira setahun untuk menghafaz 23 surah lazim termasuk surah al Fatihah.Menurutnya, kaedah merakam bacaan sendiri sebelum mendengarnya semula selama kira kira sejam hampir setiap malam banyak membantu mengukuhkan hafazannya.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada anak anak Orang Asli lain untuk terus mendalami al Quran,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Omar Salleh berkata, program tahunan selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 100 murid Orang Asli dari sembilan negeri.
Menurut beliau, KAFOA bukan sekadar mengetengahkan pertandingan tilawah, hafazan, nasyid dan azan, malah turut menyediakan pelbagai slot kerohanian bagi memperkukuhkan akidah serta amalan ibadah dalam kalangan murid.
“Usaha ini selaras dengan matlamat melahirkan murid Orang Asli yang berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan, selain membuka peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh serta institusi pengajian tinggi termasuk di Timur Tengah,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.