
Perjalanan peserta Big Stage X Rocketfuel, Rieffa, dalam pertandingan nyanyian itu akhirnya terhenti pada minggu keempat. Namun, penyanyi berusia 18 tahun itu memilih untuk menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan menganggap ia sebagai aturan rezeki yang telah ditentukan buat dirinya.
Walaupun mengakui kecewa kerana tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya, Rieffa berkata penyingkiran itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus membina nama dalam industri muzik tempatan.
“Nak kata tak patut tersingkir itu tidaklah juga. Kalau Allah kata rezeki sampai sini, reda saja.
“Tak mematahkan semangat saya tapi agak terkilan sebab saya rasa dah boleh buat yang terbaik untuk minggu ini.
“Insya-Allah, di luar sana mungkin akan ada benda yang lebih baik seperti ada lagu sendiri,” katanya semasa sidang media usai Big Stage X Rocketfuel minggu keempat.
Mengulas mengenai persembahannya pada malam tersebut, anak kepada pempengaruh Ayu Kepoh itu menjelaskan dia sudah memberikan komitmen sepenuhnya, termasuk melakukan sendiri susunan muzik bagi memberikan kelainan kepada lagu yang dipersembahkan.
Menurut Rieffa, dia sanggup mengorbankan waktu tidur demi memastikan persembahannya tampil lebih istimewa di atas pentas.
“Secara peribadi, saya rasa dah buat yang terbaik sebab lagu itu saya banyak buat susunan sendiri.
“Saya sampai tak tidur malam untuk buat susunan lagi. Lagu Terakhir sebenarnya tak ada dram dan bass, tapi saya tambah sedikit.
“Saya sedar, saya masih muda dan banyak benda perlu dipelajari,” ujarnya.
Momen Rieffa hampir rebah ketika pengumuman penyingkiran turut mencuri perhatian penonton. Mengulas insiden itu, penyanyi muda tersebut mengakui dirinya terlalu sedih kerana merasakan tidak dapat memenuhi harapan keluarga, terutama ibunya yang mahu melihatnya melangkah ke pentas final.
“Ya saya hampir nak terjatuh, nasib ada abang-abang (peserta lain) yang sempat papah saya.
“Saya rasa lemah, rasa dah tak boleh buat apa-apa dah. Rasa macam dah menghampakan keluarga saya terutama mak saya yang nak sangat tengok saya masuk final.
“Bila saya tengok atas pentas terus nampak mak dan nenek saya, terus rasa nak jatuh macam nak pitam. Tapi nasib baik saya boleh kawal lagi,” ujarnya lagi.
Pada konsert minggu keempat Big Stage X Rocketfuel yang berlangsung malam tadi, Rieffa menjadi peserta yang tersingkir selepas memperoleh markah paling rendah iaitu
65 peratus.Sebaik sahaja namanya diumumkan, penyanyi berusia 18 tahun itu dilihat gagal menahan sebak sehingga hampir rebah sebelum dipapah oleh beberapa peserta lain yang berada di atas pentas.
Big Stage X Rocketfuel dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, manakala kerusi juri pula dibarisi Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.