
Pelakon, Arena Wan mendedahkan dirinya kini sedang melalui fasa sukar apabila berasa kehilangan arah dan cuba mencari semula identiti dirinya yang semakin pudar sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Arena mengakui dia sudah tidak mempunyai semangat seperti dahulu untuk berkongsi perkembangan kehidupan mahupun menghasilkan kandungan di media sosial.
Menurut pelakon itu, keadaan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi dia masih perlu meneruskan kehidupan seperti biasa demi memenuhi tanggungjawab serta komitmen kerja yang digalas.

“Kebelakangan ini, saya rasa sedikit hilang arah. Saya sampai ke satu tahap di mana saya langsung tidak mempunyai semangat untuk memuat naik apa-apa, menghasilkan content atau berkongsi mengenai kehidupan saya seperti yang selalu saya lakukan sebelum ini.
“Ada kalanya, terasa begitu sukar untuk bernafas, seolah-olah terlalu banyak beban emosi yang saya tanggung sehingga saya sendiri tidak tahu dari mana harus saya mulakan.
“Apa yang lebih mengecewakan, saya tahu saya tidak boleh terus berada dalam keadaan seperti ini terlalu lama. Hidup tetap perlu diteruskan, kerja tetap perlu diselesaikan dan tanggungjawab tidak akan hilang begitu sahaja hanya kerana saya sedang bergelut dengan diri sendiri,” tulisnya.
Akui Jalani Kehidupan Seperti Robot
Dalam pada itu, pelakon drama hit Generasi Perfect 10 tersebut turut menggambarkan kehidupannya ketika ini seolah-olah bergerak secara automatik tanpa benar-benar menikmati setiap perkara yang dilakukan.
Jelas Arena, kebanyakan perkara yang dikongsikan di media sosial dirasakan lebih kepada tuntutan kerja dan tanggungjawab berbanding sesuatu yang dilakukan atas kehendak serta minatnya sendiri.
“Kadangkala, saya rasa seperti hanya menjalani kehidupan secara automatik. Seolah-olah saya ini robot. Apa sahaja yang saya lakukan, apa sahaja yang saya muat naik atau kongsikan, semuanya terasa seperti saya melakukannya hanya kerana kerja, kerana ia sesuatu yang perlu dilakukan, kerana saya perlu terus melangkah dan memenuhi segala tanggungjawab yang ada.
“Dan sebahagian besar daripada semua ini adalah kerana saya mempunyai keluarga yang menjadi sebab saya terus berusaha keras. Saya tahu mengapa saya perlu terus kuat dan melangkah ke hadapan. Tetapi ada kalanya, saya berharap saya dapat melakukan sesuatu hanya kerana saya benar-benar menyukainya, bukan kerana saya merasakan bahawa saya terpaksa melakukannya,” ujarnya.

Rindu Semangat Dan Diri Sendiri Yang Dahulu
Pada masa sama, bekas peserta Dewi Remaja itu turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya sikapnya yang semakin menyepi sejak akhir-akhir ini membuatkan ada pihak beranggapan dirinya sengaja menjauhkan diri.
Bagaimanapun, Arena menjelaskan dia hanya memerlukan ruang untuk memahami keadaan diri sendiri serta berusaha mendapatkan kembali semangat yang pernah dimilikinya.
“Saya minta maaf jika kebelakangan ini saya agak menyepi. Bukan niat saya untuk menjauhkan diri atau mengabaikan sesiapa. Saya cuma sedang cuba memahami apa yang berlaku dalam diri sendiri dan mencari semula siapa diri saya sebenarnya.

“Sejak akhir-akhir ini, saya sering berasa begitu kosong, seolah-olah saya telah kehilangan sinar dalam diri, arah tuju dan malah tujuan hidup saya sendiri. Saya rindukan diri saya yang dahulu. Saya rindukan semangat dan keterujaan untuk melakukan perkara-perkara yang pernah saya sukai,” katanya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Threads
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














