
Penyanyi terkenal, Psy baru-baru ini mencuri perhatian selepas beliau dikenakan denda sebanyak 5 juta Korea Won (kira-kira RM14,800) selepas didakwa mendapatkan preskripsi ubat tidur dan beberapa jenis ubat lain secara jarak jauh, sebelum meminta pengurusnya mengambil ubat tersebut bagi pihaknya.
Menerusi sebuah kenyataan oleh sumber perundangan pada 21 September, Hakim Yejin Choi dari Bahagian 12 Mahkamah Daerah Barat Seoul telah mengeluarkan perintah ringkas pada 15 September lalu, yang menetapkan Psy atau pemilik nama sebenar Park Jae-sang (49) perlu membayar denda berkenaan. Penyanyi itu sebelum ini telah didakwa secara ringkas atas tuduhan melanggar Akta Perkhidmatan Perubatan.
Menurut laporan, Psy didakwa mendapatkan preskripsi bagi ubat psikotropik yang digunakan untuk merawat masalah keresahan serta gangguan tidur di sebuah hospital universiti di Seoul dari 2022 hingga tahun lalu tanpa menjalani pemeriksaan atau rundingan secara bersemuka dengan doktor.
Lebih mengejutkan, ubat berkenaan didakwa diambil oleh pengurusnya dan beberapa pihak lain bagi pihak penyanyi itu. Berdasarkan undang-undang perubatan yang sedang berkuat kuasa di Korea Selatan, preskripsi lazimnya hanya boleh dikeluarkan selepas pesakit diperiksa sendiri oleh pegawai perubatan, manakala pengambilan ubat oleh wakil hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu.
Susulan siasatan yang dijalankan, pihak pendakwaan kemudiannya mendakwa Psy atas dakwaan melanggar undang-undang tersebut sebelum mahkamah mengeluarkan perintah ringkas yang menetapkan denda sebanyak 5 juta Korea Won. Bagaimanapun, Psy masih mempunyai hak untuk memohon supaya kes berkenaan dibicarakan secara rasmi.
Selain itu, beliau boleh mengemukakan permohonan untuk perbicaraan rasmi dalam tempoh tujuh hari selepas menerima pemberitahuan mengenai keputusan tersebut. Sekiranya permohonan berkenaan tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, denda tersebut akan menjadi keputusan yang muktamad.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas muncul laporan yang mendakwa Psy mendapatkan preskripsi ubat secara jarak jauh dan meminta individu lain mengambil ubat berkenaan untuknya. Perkara itu kemudiannya membawa kepada siasatan pihak berkuasa sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Untuk rekod, Psy sememangnya antara penyanyi Korea Selatan yang mempunyai pengaruh besar di peringkat antarabangsa. Namanya melonjak ke seluruh dunia menerusi lagu popular ‘Gangnam Style’ dan sehingga kini beliau masih aktif dalam bidang muzik sebagai penyanyi serta penerbit, selain mengetuai agensi hiburan miliknya, P Nation.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.