
Ada berita menarik buat rakyat Malaysia!
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membuat satu pengumuman penting sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat pada jam 10.30 pagi, Rabu (esok).

Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.
“Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi Rabu,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti pengumuman tersebut selepas menghadiri pemukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.
Dalam satu lagi perkongsian di Facebook, beliau turut menyatakan bahawa akan ada pengumuman besar sebagai tanda penghargaan luar biasa kepada rakyat. Namun, tiada butiran lanjut dikongsikan buat masa ini.
Apa agaknya bentuk penghargaan itu? Sama-sama kita nantikan pagi esok!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tragedi Pelajar Terjatuh Dari Tingkat 18 Di Nilai

Bandar Baru Nilai dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang pelajar lelaki warga China ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium pada pagi Rabu. Kejadian yang berlaku sekitar jam 7 pagi itu menggemparkan penduduk setempat yang menemui mayat remaja berusia 18 tahun itu terbaring di aras lima bangunan berkenaan.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Nilai dikatakan tinggal di unit kondominium tersebut bersama seorang rakan senegara. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang melihat kejadian sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
Tiada Unsur Jenayah Dalam Tragedi Pelajar China di Nilai

Menurut Superintenden Abdul Malik, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian. Pemeriksaan pasukan Forensik IPK Negeri Sembilan menunjukkan tiada kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa, kecuali sedikit pendarahan di telinga dan ruam pada badan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada barangan peribadi mangsa dilaporkan hilang dan lantai di lokasi kejadian didapati basah, dipercayai akibat mangsa terkencing semasa kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes Diklasifikasikan Sebagai Mati Mengejut (SDR)
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. “Kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7902222,” jelasnya.

Reaksi Awam dan Rakan Senegara Mangsa
Berita tragedi pelajar China di Nilai ini turut mengundang rasa simpati ramai, terutama dalam kalangan pelajar dan rakan senegara mangsa yang menzahirkan ucapan takziah di media sosial. Ramai meluahkan rasa sedih serta menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap isu keselamatan pelajar asing yang tinggal di bangunan tinggi.
Fokus Terhadap Kesihatan Mental Pelajar Luar Negara
Kejadian tragis ini bukan sekadar kehilangan nyawa, tetapi juga menjadi peringatan penting tentang kesejahteraan mental dan tekanan hidup dalam kalangan pelajar luar negara. Jauh dari keluarga, berhadapan dengan budaya baharu dan beban akademik boleh menimbulkan tekanan yang sukar diungkap.
Maka, penting untuk rakan-rakan, pihak kolej dan komuniti tempatan memainkan peranan aktif dalam memberi sokongan emosi serta ruang selamat untuk mereka berkongsi masalah. Langkah pencegahan awal dan kesedaran masyarakat boleh membantu mengurangkan risiko tragedi seumpama ini daripada berulang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isu Buli UPNM: 5 Pegawai Kadet Diarah Bayar Ganti Rugi Kepada Kerajaan, Salah Seorang Setinggi RM48,452.75

Lima orang bekas Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dikenal pasti sebagai pelaku dalam tiga kes buli berbeza telahpun diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.
Jumlah wang ganti rugi yang dituntut semula oleh setiap pelaku itu dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah digunakan oleh penuntut sepanjang tempoh pengajian masing-masing.
Dalam kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan pada hari Rabu, tindakan ini bagaimanapun tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM mahupun Jabatan Peguam Negara.

Kes pertama melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Muhammad Salman Mohd Saiful Surash yang dadanya ditekap seterika oleh Pegawai Kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.
Pelaku Amirul dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM44,600.20 dan sedang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sejak 8 November 2024.
Kes kedua pula melibakan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Alied Ahsreihan Ahslemy oleh tiga orang pelaku iaitu Pegawai Kadet Izzat Izuddin, Pegawai Kadet Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan dan Pegawai Kadet Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi.
Ketiga-tiga pelaku dituduh menganiaya mangsa dengan tindakan salah laku secara fizikal, mengarahkan mangsa melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.
Maka, setiap pelaku berkenaan diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia; masing-masing berjumlah RM48,452.75; RM19,481.70 dan RM44,600.20.
Manakala, kes ketiga melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Yeong Kian Rui yang berdepan kecederaan fizikal akibat perbuatan Pegawai Kadet Ammar Hafiy Muhammad Habib. Kecederaan yang dikenal pasti selepas jurulatihnya meminta mangsa untuk mendapatkan rawatan perubatan termasuklah kecederaan tisu lembut di bahagian bawah belakang akibat trauma.
Justeru, pelaku diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.95.
BACA: Isu Buli: Pelatih Tahun Satu UPNM Pula Retak Tulang Akibat Dipijak Senior Tepi Padang Kawad – Remaja
BACA: Bunuh Zulfarhan, Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati – Remaja
Dalam pada itu, kelima-lima pelaku juga dibatalkan pelantikan mereka sebagai Pegawai Kadet dan ditamatkan perkhidmatan dalam dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kesemua keputusan ini diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang, semalam.
Tegas Khaled lagi, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika serta peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan keras.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Terima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif UiTM

Baru-baru ini, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas sumbangan dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya pada peringkat antarabangsa.
Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM, Shah Alam pada 13 November, Rabu.
Sultan Ibrahim ketika bertitah pada istiadat berkenaan turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap pencapaian Tunku Azizah yang juga adinda Seri Paduka Baginda, kepada industri seni kreatif negara.


Dalam pada itu, turut berangkat pada Istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.
Shahrin ketika mempersembahkan anugerah memaklumkan penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan meluas Tunku Azizah dalam bidang seni tekstil dan seni kraf tradisional antaranya menerusi penglibatan aktif dalam menaungi beberapa organisasi di dalam dan luar negara bagi memartabatkan seni warisan negara itu.
Beliau berkata, sumbangan signifikan Tunku Azizah dalam memasyhurkan Kain Tenun Pahang Diraja telah diiktiraf melalui Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India sekaligus mengangkat martabat kesenian warisan tradisi negara ke tahap yang tinggi.


“Pada 2006, Tenun Pahang telah mendapat pengiktirafan diraja dan kini dikenali dengan nama Tenun Pahang Diraja sekaligus mengangkat martabat seni tekstil ini pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sumbangan Tunku Azizah turut terbukti melalui penubuhan Institusi Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Afzan terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang yang berperanan untuk memberi ilmu kepada generasi muda agar seni tradisi itu tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, kemahiran seni tangan Tengku Ampuan Pahang itu turut diterjemahkan melalui Projek Tenun Pahang yang telah diperluas kepada penghuni penjara Penor dan Bentong serta beberapa penjara lain.
Susulan itu juga, minat Tunku Azizah yang mendalam ini juga telah membawa kepada penubuhan syarikat yang menghasilkan kain tenun, dikenali ‘Che Minah Sayang’ bagi menggalakkan masyarakat menghasilkan karya yang bermutu untuk dikomersialkan.
Sumber: Bernama & UiTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

