Berita

PLKN 3.0 Sasar Lebih 200,000 Pelajar Menjelang 2027, Pelaksanaan Bermula Di IPTA

Share

Terbaru, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dijangka memasuki fasa lebih besar pada tahun 2027 apabila lebih 200,000 pelajar dan pelatih bakal terlibat menerusi pelaksanaannya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta beberapa kem latihan terpilih di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 tahun hadapan dijangka melibatkan seramai 191,126 pelajar daripada 20 IPTA serta 10,520 pelatih di sembilan lokasi kem latihan, sekaligus melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 100,000 peserta.

Dilakukan Secara Berperingkat

Difahamkan, peningkatan jumlah penyertaan akan dibuat secara berfasa bergantung kepada tahap kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar serta kemudahan infrastruktur yang tersedia. Pemilihan peserta pula akan dilakukan menerusi dua kaedah iaitu sistem ‘balloting’ dan penyertaan secara sukarela.

Selain itu, bilangan pelatih PLKN 3.0 dijangka terus meningkat secara berperingkat selaras dengan tahap ketersediaan dan kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar serta infrastruktur yang disediakan. Kapasiti pengambilan peserta juga akan mengambil kira penggunaan kem alternatif seperti Kem MALBATT Village dan Pusat Latihan RELA bagi menyokong peningkatan jumlah penyertaan pada masa akan datang.

3 Komponen Utama Fokus Bentuk Generasi Berdaya Saing

Dalam perkembangan sama, Adly memaklumkan pelaksanaan PLKN 3.0 di IPT akan dijalankan melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Struktur modul latihan yang telah dimuktamadkan merangkumi 30 peratus Modul Kenegaraan, 30 peratus Modul Kepimpinan dan 40 peratus Modul Ketenteraan. Selain itu, kursus Training of Trainers (TOT) turut dilaksanakan bagi memastikan pensyarah serta fasilitator mempunyai standard penyampaian yang seragam.

“PLKN 3.0 di IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan objektif program dapat dicapai. Kursus Training of Trainers turut diberikan supaya semua tenaga pengajar mempunyai kefahaman, kemahiran dan piawaian penyampaian yang sama,” katanya.

 

Program Rintis PLKN 3.0 Dapat Sambutan Positif

Sebagai langkah awal, kerajaan telah memulakan program rintis PLKN 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 Jun lalu melibatkan 996 pelajar. Program berkenaan turut diperluaskan ke tiga politeknik iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Banting dan Politeknik Seberang Perai dengan penyertaan seramai 4,000 pelajar.

Pelaksanaan seterusnya akan diperluaskan ke tiga kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai Ogos 2026 melibatkan 1,184 pelajar. Berdasarkan penilaian awal, program rintis itu menerima maklum balas positif terutama dalam aspek pembentukan sahsiah, patriotisme, kepimpinan serta modul kenegaraan.

BACA: Dijadualkan Bermula Pada Tahun 2025! Ini 5 Fakta Best Mengapa Korang Tak Patut Cuak Jika Terpilih Masuk Ke PLKN!

Sementara itu, buat masa ini, kerajaan masih memberi tumpuan kepada pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pendidikan awam sebelum mempertimbangkan perluasan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Penilaian terhadap keberkesanan modul, maklum balas peserta, kesiapsiagaan prasarana dan kemampuan pelaksanaan secara mampan akan dilakukan terlebih dahulu.

Secara keseluruhannya, perluasan PLKN 3.0 secara berperingkat dijangka menjadi platform untuk membentuk generasi muda yang lebih berdaya tahan, berdisiplin serta mempunyai semangat patriotisme tinggi, seiring dengan peningkatan kapasiti latihan pada masa akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE