“Yang mana satu betul, goreng pisang atau pisang goreng, cikgu?” tanya seorang pelajar. Hal ini diajukan kerana terdapat sebilangan besar peniaga atau penjaja makanan yang menulis “goreng pisang” dan ada juga yang menulis sebagai “pisang goreng” pada papan iklan mereka. Perkara ini sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Bukan hanya pelajar, kecelaruan ini turut memberikan kesan yang tidak baik terhadap pengguna bahasa Melayu. Berbalik kepada persoalan pelajar tersebut, dalam situasi tersebut, frasa yang tepat ialah “pisang goreng.

  1. Mak Cik Kiah menjual pisang goreng di warungnya.

“Pisang goreng” ialah pisang yang telah digoreng, iaitu sejenis makanan dan tergolong dalam kategori kata nama. Frasa “pisang goreng” dalam ayat di atas menepati Hukum DM.
Menurut buku Tatabahasa Dewan, Hukum DM ialah singkatan bagi (D) diterangkan dan (M) menerangkan.

Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan (M) unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Hukum DM digunakan untuk memastikan frasa nama digunakan dengan betul. Seharusnya bentuk yang betul ialah “pisang goreng” kerana merujuk kata nama pisang sedangkan kata “goreng” merujuk kata kerja.

IKLAN

Walau bagaimanapun, dalam situasi lain frasa “goreng pisang” menunjukkan proses atau perbuatan menggoreng pisang, iaitu memasak dengan minyak, misalnya seperti ayat di bawah.

  1. Ibu goreng pisang di dapur.

Penggunaan “goreng pisang” dan “pisang goreng” mestilah digunakan dalam konteks ayat dan situasi yang tepat. Walau bagaimanapun, terdapat juga frasa nama yang terkecuali daripada Hukum DM.
Hal ini demikian kerana frasa nama tersebut telah digunakan secara meluas dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antaranya:

IKLAN
  1. perdana menteri
  2. timbalan menteri
  3. ibu pejabat
  4. naib presiden

Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Hukum DM?

  1. ayam telur atau telur ayam
  2. lembu susu atau susu lembu
  3. lembu daging atau daging lembu

Kedua-dua pilihan dalam contoh di atas tepat dan boleh digunakan. Namun begitu, penggunaan kata-kata tersebut bergantung pada unsur inti yang hendak diterangkan.
Contohnya, “ayam telur” merujuk sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala “telur ayam” merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain.

IKLAN

Yang jelas, Hukum DM dalam bahasa Melayu perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh pengguna bahasa. Amalkanlah penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel Ini Ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI