
Daripada gelap kepada gemilang, begitulah perjalanan luar biasa Dr Noorilham Ismail, 35, pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) yang hilang penglihatan sejak berusia lapan tahun, namun tetap berdiri hebat di pentas konvokesyen dengan segulung PhD di tangan.
Siapa sangka, anak Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, Johor ini berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) tepat pada masanya walaupun melalui cabaran yang bukan kecil, apatah lagi kajiannya dijalankan jauh di bumi Amerika Syarikat dan United Kingdom. Penyelidikan beliau yang bertajuk “Penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Falkland 1982-1983” meneliti dasar luar AS di bawah pentadbiran Presiden Ronald Reagan. Tiga tahun bukanlah masa yang singkat, tetapi semangatnya jauh lebih panjang daripada dugaan.
“Untuk menulis, saya boleh menggunakan Microsoft dan perisian, tetapi bahagian teknikal seperti nota kaki dan bibliografi memerlukan ketelitian. Di situlah isteri saya banyak membantu,” jelasnya.
Di sisi Noorilham, berdiri wanita yang menjadi tulang belakang setiap langkah iaitu isterinya, Zarifah Arsani. Bukan sekadar pendamping hidup, Zarifah juga adalah mata yang membimbing sepanjang penyelidikan. Dengan latar pendidikan dalam sejarah, beliau menjadi pembantu akademik tidak rasmi, menemani Noorilham merentasi arkib penyelidikan di Washington DC, Maryland, London dan Cambridge, selama sebulan di setiap lokasi.

Pengajian PhD ini juga menguji kekuatan dari sudut kewangan. Noorilham mengakui semuanya bermula dengan simpanannya sendiri sebelum menerima sokongan dana seperti Sasakawa Fellowship daripada Tokyo Foundation, serta bantuan perbelanjaan seperti tempat tinggal dan keperluan ketika berada di AS yang ditanggung oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Saya bermula dengan wang tabungan sendiri. Kemudian menerima biasiswa Sasakawa Fellowship daripada Tokyo Foundation, manakala Menteri Sumber Manusia Steven Sim menampung perbelanjaan, tempat tinggal dan beberapa keperluan ketika saya di Amerika Syarikat,” ujarnya.
Buat Noorilham, kejayaan ini bukan sekadar tentang ilmu, tetapi tentang manusia-manusia yang menjadi sumber kekuatannya. Beliau menzahirkan penghargaan kepada ibunya, Salimah Kasim, yang setia menyokong sejak dirinya kehilangan penglihatan akibat demam ketika kecil. Malah, beberapa bekas pensyarah UM yang juga merupakan OKU penglihatan turut menjadi inspirasinya untuk terus melangkah.
Bakat tidak harus terhalang oleh kekurangan.
Itu juga yang ditegaskan oleh Steven Sim, yang melihat perjalanan Noorilham sebagai bukti bahawa akses pendidikan tinggi perlu saksama untuk semua.
Sim menanggung kos kajian Noorilham di AS sebanyak RM15,000, selain bantuan bulanan RM1,000sehingga pengajian selesai.

“Anak Felda ini pernah ditolak kemasukan bagi kursus Sarjana kerana cacat penglihatan, tetapi hari ini beliau berjalan dengan megah menerima PhD daripada Sultan Nazrin Shah, Canselor UM.
Dahulu, Ilham dan isteri hidup sangat susah, nak makan pun tak cukup, ikat perut setiap hari, tetapi hari ini beliau sudah menjadi seorang pensyarah di UM.”
“Bukan sekadar gaji lebih, malah beliau berjanji akan menjadi guru yang baik untuk mendidik anak bangsa tidak kira kaum dan agama. Saya sangat bangga.”
Katanya lagi, kemampuan Noorilham membuktikan bahawa bakat seorang manusia tidak pernah wajar dinilai melalui kekurangan yang terlihat di mata kasar.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

