Berita

Kasih Seorang Bapa Hingga Akhir Hayat, Sempat Carikan ‘Rumah’ Buat Anak Autisme Sebelum Meninggal Dunia

Share

Jeon Gyeong-cheol yang dikenali sebagai Peter Pan Dad menyentuh hati ramai menerusi perjuangannya mencari tempat tinggal serta penjagaan terbaik buat anak lelakinya yang menghidap autisme selepas ketiadaannya, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Jeon yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Peter Pan Dad’ menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun selepas berjuang melawan kanser hati tahap akhir.

Berita pemergiannya diumumkan oleh Ketua Developmental Disabilities Support Expert Forum, Jeong Yu-jin menerusi media sosial pada Ahad.

Mengikut permintaan terakhir Jeon, tiada upacara penghormatan atau memorial hall berasingan akan diadakan untuknya.

Risau Nasib Anak Selepas Dirinya Tiada

Di sebalik kisah pemergiannya, perjalanan Jeon sebagai seorang bapa terlebih dahulu meraih perhatian masyarakat Korea Selatan apabila beliau mendedikasikan lebih dua dekad kehidupannya untuk menjaga anak lelakinya, Je-won.

Je-won yang kini berusia 27 tahun menghidap autisme dan tahap perkembangannya dilaporkan berada sekitar usia kanak-kanak dua hingga tiga tahun.

Sebagai penjaga tunggal anaknya, satu persoalan sentiasa menghantui Jeon. Siapa yang akan menjaga Je-won apabila dirinya sudah tiada?

Kebimbangan itu menjadi semakin nyata apabila Jeon disahkan menghidap kanser hati tahap akhir pada April tahun lalu.

Mengetahui masa yang dimilikinya mungkin semakin singkat, Jeon mengambil keputusan untuk bergerak ke seluruh Korea Selatan demi mencari tempat yang mampu menjaga anaknya untuk jangka panjang.

Difahamkan, beliau telah menghubungi hampir 1,000 pusat dan fasiliti penjagaan, namun hanya sebilangan kecil yang mempunyai kemampuan untuk menerima individu dengan keperluan seperti Je-won.

Perjuangan ‘Peter Pan Dad’ Sentuh Hati Ramai Orang

Jeon kemudiannya mula mendokumentasikan perjalanan tersebut menerusi platform penerbitan kandungan, Brunch.

Tulisan jujurnya mengenai ketakutan seorang bapa meninggalkan anak yang masih memerlukan penjagaan akhirnya mendapat perhatian ramai.

Kisah Peter Pan Dad dan anaknya turut diketengahkan menerusi beberapa program televisyen popular Korea Selatan termasuk MBC True Story Expedition dan tvN You Quiz on the Block.

Catatan Jeon kemudian dihimpunkan menerusi koleksi esei Annyeong, Peter Pan yang diterbitkan pada Jun lalu.

Sokongan masyarakat terhadap keluarga kecil ini juga cukup luar biasa apabila sumbangan sekitar 80 juta won berjaya dikumpulkan.

Lebih melegakan, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Jeon akhirnya sempat melihat Je-won mendapat tempat tinggal baharu di sebuah komuniti yang menyediakan penjagaan buat individu dengan masalah perkembangan yang memerlukan sokongan tinggi.

“Saya Tidak Mahu Lupakan Dia Sepenuhnya”

Ketika muncul dalam program You Quiz on the Block bulan lalu, Jeon sempat berkongsi harapannya terhadap kehidupan Je-won selepas pemergiannya.

Jeon berharap anaknya mampu meneruskan kehidupan dengan bahagia tanpa terlalu terikat dengan kehilangan dirinya.

Namun jauh di sudut hati seorang bapa, beliau masih berharap Je-won akan menyimpan sedikit memori tentang dirinya sebagai insan yang pernah menjaga dan memandangnya dengan penuh kasih sayang.

Perjuangan Peter Pan Dad bagaimanapun tidak terhenti selepas berjaya mendapatkan tempat tinggal buat anaknya.

Beliau turut berusaha menubuhkan sebuah yayasan kebajikan bagi membantu individu dewasa dengan autisme tahap teruk serta keluarga yang berdepan situasi sama sepertinya.

Pada 26 Ogos lalu, hanya beberapa hari sebelum pemergiannya, Jeon sempat mengumumkan penubuhan jawatankuasa persediaan bagi merealisasikan yayasan berkenaan.

Kini, perjuangan yang dimulakan oleh ‘Peter Pan Dad’ itu dijangka diteruskan oleh ahli jawatankuasa terbabit.

Jeon mungkin pergi selepas memastikan anaknya mempunyai tempat untuk meneruskan kehidupan, namun kisahnya meninggalkan persoalan lebih besar tentang masa depan individu berkeperluan khas apabila ibu bapa atau penjaga mereka sudah tiada.

Sumber : The Korea Herald

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Darwisy