
Duo bintang terkenal, WOODZ dan Jennie dari kumpulan BLACKPINK baru-baru ini mengejutkan para peminat selepas mendedahkan hubungan persahabatan mereka sebenarnya sudah lebih daripada satu dekad.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Youtube milik WOODZ, Jennie tampil sebagai tetamu undangan istimewa dan berkongsi pelbagai cerita menarik mengenai pertemanan mereka yang terjalin sejak dari zaman sekolah.
Walaupun sudah mengenali antara satu sama lain sejak bertahun-tahun, kedua-duanya mengakui bahawa ini merupakan kali pertama mereka berinteraksi di hadapan kamera. Momen tersebut jelas kelihatan sedikit kekok pada awalnya sebelum bertukar menjadi santai apabila mereka mula mengimbau kenangan lama.
Menurut WOODZ, beliau sudah mengenali Jennie selama kira-kira 10 tahun, manakala Jennie turut mengingati detik pertama pertemuan mereka di sebuah festival sekolah menengah.
Difahamkan, hubungan kedua penyanyi itu kemudian menjadi lebih rapat apabila mereka pernah menjalani latihan sebagai trainee di bawah agensi yang sama. Masa yang diluangkan bersama ketika berulang-alik untuk sesi latihan secara tidak langsung mengukuhkan lagi persahabatan tersebut.
Sementara itu, Jennie turut berkongsi bahawa WOODZ merupakan individu yang terlebih dahulu menghubunginya untuk berkawan. Mengulas perkara itu, WOODZ secara berseloroh berkata beliau hanya ingin menjadi seorang kawan yang menyeronokkan.
BACA: Aura Ikon Fesyen Makin Menyerlah, Jennie BLACKPINK Kini Duta Global Ray-Ban
Lebih menarik lagi, mereka juga mendedahkan bahawa pernah bersekolah di sekolah rendah yang sama, sekaligus menjelaskan mengapa hubungan mereka begitu akrab.
“Ramai yang tertanya-tanya kenapa kami rapat, tetapi hubungan kami sebenarnya lebih mendalam daripada yang disangka,” jelas Jennie.
Dalam pada itu, sepanjang video tersebut, WOODZ dan Jennie jelas menunjukkan keserasian yang selesa dengan saling berbalas gurauan. Jennie turut memuji WOODZ sebagai seorang artis yang konsisten menghasilkan muzik berkualiti serta bekerja keras, selain menyatakan kekagumannya dan sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan kerjayanya, sekaligus menjadikan momen tersebut kelihatan hangat dan menyentuh hati.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.