Berita

Pernah Ditolak & 9 Tahun Menanti, Kini Teya Terbang Tinggi Capai Impian Sebagai Pramugari

Share

Selepas hampir sedekad menyimpan impian, Finalis Dewi Remaja 2025, Teya akhirnya berjaya merealisasikan cita-citanya untuk bergelar pramugari.

Momen penuh makna itu dikongsikan sendiri oleh gadis berusia 26 tahun menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya.

Menurut Teya, perjalanan untuk mencapai impian tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, ia memerlukan kesabaran, pengorbanan dan keberanian untuk terus mencuba walaupun berdepan kegagalan.

“Sayap pertama saya. 9 tahun bermimpi, menunggu dan membesar… akhirnya, saya berjaya mendapatkan ‘sayap’ ini.

“AirAsia nampak potensi dalam diri saya, dan saya sangat bersyukur dapat menjadikan ini sebagai ‘rumah’ saya. Impian ini bermula sejak saya berusia 14 tahun,” katanya.

Empat Kali Gagal, Bukan Penghalang

Teya turut mendedahkan bahawa dia pernah mencuba sebanyak empat kali dengan syarikat penerbangan berbeza sejak tahun 2018, namun tidak berjaya. Tidak berputus asa, dia memilih untuk memberi fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.

“Selepas empat kali mencuba dengan syarikat penerbangan berbeza sejak 2018, saya memilih untuk fokus pada pelajaran terlebih dahulu, menamatkan Diploma dan Ijazah,” jelasnya.

Untuk rekod, Teya yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan salah seorang Top 12 Dewi Remaja 2025 dan juga graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Kembali Kejar Impian Pada Usia 26 Tahun

Selepas menamatkan pengajian, semangat Teya untuk kembali mengejar impian lamanya kembali menyala. Dengan keyakinan dan keberanian, dia mengambil keputusan untuk mencuba sekali lagi, dan akhirnya berjaya.

“Pada usia 26 tahun, semangat itu kembali menyala. Saya memberanikan diri mengambil satu langkah besar, dan kini… inilah saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, segala yang berlaku dalam hidup mempunyai waktu yang tepat, dan dia percaya rezeki itu hadir ketika dirinya benar-benar bersedia.

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui waktu yang paling tepat. Dia berikan saat saya benar-benar sudah bersedia.

“Untuk diri saya yang dulu: kita akhirnya berjaya! Kini, semua orang boleh terbang. Jumpa anda di dalam pesawat! Pramugari anda, Teya,” katanya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath