Berita

Pernah Dipandang Rendah & Air Mata Jadi Kekuatan, Anak Penjual Rojak Raih Keputusan Cemerlang SPM!

Share

Seorang bapa mencuri perhatian warganet apabila meluahkan rasa bangga terhadap puteri sulungnya yang berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, baru-baru ini.

Coretan panjang yang dimuat naik di Instagram itu bukan sahaja menyentuh emosi, malah menjadi inspirasi apabila berkongsi perjalanan hidup penuh cabaran yang dilalui keluarganya.

Dari Tepi Jalan, Penuh Air Mata & Pengorbanan

Menceritakan detik sukar yang pernah dilalui, bapa berkenaan mengimbau kehidupan mereka yang serba sederhana, hanya bergantung kepada usaha mencari rezeki di tepi jalan.

“Di bawah panas terik… di tepi jalan, orang nampak rojak… tapi tak nampak air mata.

“Keluarga kami bukan siapa-siapa, hanya Abah yang penat bekerja, Mama yang diam-diam berdoa,” katanya.

Perkongsian itu jelas menggambarkan realiti kehidupan mereka yang penuh pengorbanan, namun tetap tabah menghadapi segala ujian.

Luka Dihina Jadi Kekuatan

Menurutnya lagi, anak perempuannya yang mesra dipanggil Kaklong pernah berdepan dengan kata-kata sinis daripada orang sekeliling, namun menjadikan penghinaan itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

“Pernah dihina… “anak penjual rojak je..” tapi Kaklong simpan luka itu jadi kekuatan.

“Malam belajar dengan air mata, siang lihat pengorbanan Abah Mama,” coretnya lagi.

Ketabahan dan kekuatan mental itulah yang akhirnya membentuk kejayaan yang diraih hari ini.

Air Mata Syukur, Bukan Lagi Duka

Mengulas tentang keputusan SPM yang diperoleh, si ayah tidak dapat menahan rasa sebak apabila segala usaha dan doa akhirnya dimakbulkan.

“Hari ini… Allah jawab segalanya. SPM 2025 cemerlang. Air mata yang jatuh… bukan lagi sedih, tapi syukur.

“Kaklong bangga bahagiakan Abah Mama..”,” kongsinya.

Dari Dipandang Rendah, Kini Berdiri Dengan Maruah

Tambahnya lagi, kejayaan tersebut bukan sekadar keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi lambang kebangkitan sebuah keluarga yang pernah dipandang rendah.

“Dari keluarga yang dipandang rendah… hari ini kami berdiri dengan maruah”

“Syukur Alhamdulilah, tahniah Kaklong buat abah dan mama bangga untuk SPM 2025,” tambahnya lagi.

Warganet Tumpang Bangga & Ucap Tahniah

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut tersentuh dengan kisah penuh inspirasi itu. Ramai yang menzahirkan rasa bangga selain mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang yang diraih oleh anak perempuan kesayangannya.

Tidak kurang juga yang menjadikan kisah tersebut sebagai sumber motivasi, khususnya buat pelajar lain agar tidak mudah berputus asa walau datang daripada latar belakang sederhana.

Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian hebat pada masa akan datang. Tahniah!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath