Luar Negara

Putera Mateen Terima Kehadiran Puteri Sulung, 17 Das Meriam Dilepaskan

Share

Baru-baru ini, Putera Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, mengumumkan baginda dan isteri, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, selamat menimang cahaya mata pertama mereka, semalam.

Memetik laporan Media Permata, Puteri Anisha dilaporkan selamat melahirkan seorang puteri pada 8 Februari, pukul 8.50 pagi, sekaligus menjadikan kelahiran ini detik bersejarah buat institusi diraja Brunei Darussalam.

Kelahiran cucunda kepada Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah itu disambut penuh istiadat apabila sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda kesyukuran dan meraikan peristiwa tersebut.

“Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan bahawasanya Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, dengan izin Allah SWT, telah selamat meluaran seorang Puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447, bersamaan 8 Februari 2026”

“Berikut dengan meluaran ini sebanyak 17 das tembakan meriam telah dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman,” menurut kenyataan yang sama.

Terdahulu, Putera Mateen bertitah berkongsi berita kehamilan anakanda sulung pasangan diraja berkenaan pada Oktober tahun lalu, sekaligus mencuri perhatian ramai.

Untuk rekod, Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan bekas isteri baginda, Hajah Mariam Abdul Aziz.

Sementara itu, Puteri Anisha yang dilahirkan di London dikenali sebagai seorang usahawan, mengusahakan syarikat pakaian sutera serta agensi pelancongan mewah. Pasangan diraja ini yang merupakan sahabat sejak kecil selamat diijabkabulkan pada 11 Januari 2024.

BACA: Kenali Dayang Anisha, Suri Hati Putera Mateen Yang Jelita & Bijak

Sumber: Media Permata

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE