Vape Diharamkan Sepenuhnya Di Malaysia Menjelang 2026 – Menteri Kesihatan

Share

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan Malaysia komited ke arah pengharaman penuh penggunaan vape dengan pelaksanaan larangan itu dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya menjelang tahun 2026.

Menurut Dr Dzulkefly, keputusan mengharamkan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk direalisasikan.

“Kita sebenarnya sudah sedia dan saya pernah kata istilah sekarang ini bukanlah ‘jika’ kita haramkan vape, tetapi ‘bila’ kita akan haramkan vape”

“Ini bermakna, kita sudah menetapkan keputusan untuk pengharaman vape ini, jadi kalau kita ke arah pengharaman itu, isunya adalah bila,” jelasnya lagi.

“Saya ulang kembali mungkin 2026 sama ada di pertengahan atau paling lewatnya di hujung 2026,” tegas beliau.

Di samping itu, Dr Dzulkefly juga memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan penguatkuasaan larangan berkenaan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya menjelang pertengahan 2026 atau sebelum akhir tahun berkenaan.

Mengulas lanjut, meskipun kementerian terlepas membentangkan cadangan itu dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, beliau yakin ia akan dibawa semula untuk pertimbangan pada awal tahun hadapan.

 

 

Sementara itu, jelasnya lagi, antara faktor utama yang mendorong keputusan tersebut adalah kebimbangan terhadap penggunaan cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang serta bahan sintetik yang didapati mempunyai kaitan dengan kes psikosis akibat dadah dan masalah kesihatan mental yang serius.

Selain dari itu, terlalu banyak kebejatan melibatkan vape dan penggunaannya telah dilaporkan, termasuk kes pesakit yang dirujuk untuk rawatan selepas mengalami psikosis akibat pengambilan bahan seperti kanabis sintetik dan bahan terlarang lain, yang sebahagiannya digunakan melalui vape.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE