Penerima 2 Dos Vaksin COVID-19 Akan Dibenarkan Rentas Negeri & Ke Luar Negara Tanpa Halangan

Share

Berita baik buat masyarakat Malaysia, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa individu yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 selepas ini bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh terbang ke luar negara dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Menurut laporan Harian Metro, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke negara terbabit. Sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi ‘passport’ untuk mereka ke luar negara.

Foto: CNN Indonesia

Perdana Menteri juga memaklumkan kerajaan sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan untuk merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini tanpa halangan pihak berkuasa.

Malah, sijil itu juga membolehkan mereka melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menasihatkan kepada orang ramai agar tidak perlu bimbang untuk menerimas suntikan vaksin itu kerana jelasnya beliau tidak mengalami sebarang kesan terhadap kesihatannya. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita.

Foto: Harian Metro

Namun begitu, masyarakat Malaysia masih lagi seakan tidak begitu gembira dengan berita ini kerana memikirkan giliran mereka yang entah bila.

Bersabarlah ya. Kita semua faham yang ramai dah rindu kampung halaman untuk berjumpa dengan keluarga tersayang. Namun, apakan daya masa belum mengizinkan. Sama-samalah kita berdoa agar urusan suntikan vaksin ini dipermudahkan dan tiba pula giliran kita untuk mendapatkan suntikan ini.

Walau bagaimanapun, bila dah terima suntikan vaksin itu tidak bermakna korang sudah ‘bebas’ daripada wabak ini. Amalan berjaga-jaga tetap perlu dilakukan. Stay safe!

Sumber: Harian Metro

Published by
Noor Ain Norman