Berita

Pempengaruh Dituduh Rogol, Lakukan Amang Seksual Terhadap 2 Remaja Perempuan Bawah Umur

Share

Meski diminati di platform media sosial sekalipun, ia bukanlah tiket untuk sesiapa melakukan apa-apa sahaja mengikut kemahuannya membuta-tuli.

Begitulah gambaran terhadap seorang pempengaruh media sosial lelaki tempatan yang dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan bawah umur pada bulan lepas.

Pempengaruh yang dikenali sebagai Iman Hazriq atau nama penuhnya, Muhammad Iman Hazriq Azizan itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.

Iman Hazriq, 23 didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah kondominium di Wangsa Maju antara 1 tengah hari hingga 8 malam pada 22 Januari lepas.

Foto Hiasan.

Pertuduhan yang dibaca di hadapan Tasnim adalah mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Mohd Kafli pula, pempengaruh itu berdepan pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat seksual di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan RM15,000 untuk setiap pertuduhan merogol dan amang seksual dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang menganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Begitupun, tertuduh yang dibenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan setelah peguam, Mohamad Akmal Mohd Taufik memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan Iman Hazriq masih bujang dan menanggung ibu bapa serta dua adik yang masih bersekolah dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April hadapan untuk sebutan kes.

SUMBER: BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ