Pelakon Siri Adiwira ‘Kamen Rider’ Ditemui Tidak Bernyawa Di Rumah

Share

Depresi merupakan penyakit yang paling bahaya jika tidak dirawat dengan lebih awal. Faktor masalah ini mungkin daripada gangguan otak, pengalaman hidup yang negatif atau sedang menanggung masalah besar dalam hidup. Ia juga boleh mendatangkan kesan lebih parah kepada pesakit, iaitu sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Ramai dikalangan selebriti yang mengalami masalah depresi dan mengakhiri hidup mereka dengan jalan bunuh diri.

Terbaru, aktres Jepun, Sei Ashina yang pernah membintangi siri adiwira ‘Kamen Rider Hibiki’ ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya yang bertempat di Tokyo pada Isnin lalu. Ashina yang memegang watak Hime dalam drama siri itu meninggal dunia pada usia 36 tahun.

Menurut laporan media antarabangsa, pelakon itu ditemukan oleh abangnya di apartmen miliknya sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Memetik laporan Astro Awani, pihak polis kemudian mengesahkan kematian pelakon itu dipercayai disebabkan tindakan bunuh diri.

Difahamkan, Ashina tidak meninggalkan sebarang nota sebelum bertindak mengambil nyawanya sendiri. Namun begitu, laporan media antarabangsa ada mendedahkan bahawa mendiang tidak menjawab panggilan telefon dan mesej sejak hari Ahad.

Untuk info, Kamen Rider atau Masked Rider secara keseluruhannya adalah rancangan siri Jepun wira hebat Tokusatsu bermula dengan tahun 1971 siri TV Kamen Rider.

Disebabkan oleh kemahsyuran rancangan tersebut, siri asal telah menghasilkan banyak siri-siri yang seterusnya dan sejak itu menjadi sebahagian legasi siri tersebut.

IKLAN