
Sumber Foto: BERNAMA
Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima hukuman dibuang daripada universiti setelah berdepan pertuduhan mencemarkan kitab Al-Quran apabila bertindak memijaknya lalu memuat naik perbuatannya di media sosial dengan niat ingin mengaibkan agama Islam pada 22 Februari lalu.
Pelajar yang dikenali sebagai S.Vikneswaran menerima hukuman itu setelah Jawatankuasa Tatatertib Pelajar universiti berkenaan bersidang pada 9 Mac.
Naib Canselor UMPSA, Prof Yatimah Alias dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, penuntut itu didapati bersalah lalu dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.
Menurutnya lagi, pihak universiti berharap agar hukuman tegas ini boleh dijadikan pengajaran dalam kalangan warga universiti lain sama ada mahasiswa mahupun tenaga kerja agar semua lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan agar nama baik institusi tidak tercemar.
Pihak UMPSA tambahnya tidak akan berkompromi dalam isu penyebaran kandungan yang menghasut kebencian melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam di Malaysia.
Terdahulu, S. Vikneswaran menerusi akaun peribadi ‘ryandaselva’ di laman portal Threads secara sedar melakukan hantaran jelik melibatkan kitab suci Al-Quran dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain.
Bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya, mahkamah membenarkan mahasiswa itu diikat jamin RM10,000 setiap satu dan mengarahkannya melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 8 April 2026 untuk sebutan semula kes berkenaan.
Dalam era digital masa kini, setiap individu perlu lebih peka terhadap batasan dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia. Tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang boleh mengundang kesan yang serius.
Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah pelajar agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi serta media sosial.
Kes ini secara tidak langsung menjadi pengajaran kepada semua pihak agar sentiasa menghormati agama, budaya dan nilai masyarakat demi mengekalkan keharmonian negara.
SUMBER: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.