Seorang lagi pelajar Malaysia telah merekodkan kecemerlangan apabila berjaya meraih pencapaian tertinggi hingga ke peringkat dunia dalam peperiksaan program perakaunan professional baru-baru ini.
Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, seorang penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima anugerah untuk dua kertas peperiksaan diambil iaitu Financial Management (FM) dengan pencapaian tempat pertama di Malaysia dan juga di dunia manakala untuk Strategic Business Reporting (SBR), dia mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia.
Fakulti Perakaunan universiti itu dalam satu kenyataan berkata, Hannah Mumtazah masih mempunyai tiga kertas peperiksaan sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA).
IKLAN
Menurut kenyataan itu lagi, ini bukan kali pertama penuntut UiTM melakar kejayaan di peringkat antarabangsa. Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, Fakulti Perakaunan UiTM sentiasa komited dalam berusaha meningkatkan bilangan akauntan bertauliah di negara ini.
Hannah Mumtazah yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah sebelum ini mengikuti program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum menyambung pengajian di UiTM.
JPPro adalah program profesional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.
Melalui program ini, penuntut boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT).
Hannah turut berkongsi rahsia kejayaan dan menurutnya, Pengurusan masa yang baik adalah perlu dalam memastikan supaya sesi ulang kaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga. Selain itu, konsisten sepanjang semester antara kunci kejayaan, berbincang bersama pensyarah dan rakan kuliah antara yang sering dipraktikkan.
IKLAN
Tahniah Remaja ucapkan kepada Hannah Mumtazah atas kejayaannya ini dan semoga terus sukses dalam bidang yang diceburi. Semoga kisah Hannah ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat pelajar lain untuk terus berusaha bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam bidang pelajaran.
Nama pun Malaysia, tentu saja kita kaya dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.
Seorang pelajar India tidak menjadikan bukan beragama Islam sebagai penghalang buatnya untuk berjaya dalam mata pelajaran Tasawwur Islam. Inilah dibuktikan oleh seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak ini mengambil subjek Tasawwur Islam sebagai mata pelajaran elektif bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Januari depan.
Lebih mengagumkan, M Dharshini tidak diajar guru kerana pertembungan jadual persekolahan dan hanya belajar berpandu modul yang dibekalkan, malah berjaya mengekalkan keputusan cemerlang.
Menurutnya, dia merupakan satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya yang mengambil mata pelajaran berkenaan sejak tahun lalu dan berjaya memperoleh gred A+ atau A- setiap kali menduduki ujian.
Sebab Ambil Matapelajaran Tasawwur Islam
Ditanya mengapa mengambil subjek Tasawwur Islam, katanya sebagai menambah pengetahuan mengenai agama Islam selain ingin memenuhi hasrat ibu yang memintanya menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tidak jauh dari rumah.
“Saya menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan kebetulan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang paling hampir dengan rumah,” katanya sebagai harapan subjek berkenaan dapat memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan universiti.
Dharshini berkata, pada awalnya sukar untuk memahami Tasawwur Islam tanpa bantuan guru namun kerja keras dalam menelaah modul yang diberikan membantu dia menguasai subjek itu.
Rata-Rata Netizen Teruja Dan Bangga
Kisah Dharshini mendapat perhatian warganet selepas dia memuat naik ciapan bersama gambarnya dan markah diperoleh untuk subjek Tasawwur Islam dalam Ujian Penilaian dan Peperiksaan di laman sosial Twitter.
Ciapan itu mendapat pujian netizen yang kagum dengan prestasi gadis berkenaan walaupun bukan beragama Islam. Menurut seorang netizen ramai yang takut mempelajari tulisan jawi nanti masuk islam, namun berlainan pula gadis ini.
Menurut Dharshini, dia mengakui mengikuti kelas jawi ketika di tingkatan satu dan dua bersama rakan sekelas lain di surau.
Wah bagusnya gadis ini, moga berjaya dengan SPM dan capai impian untuk ke menara gading!
Suatu ketika dahulu kita cukup berbangga dengan menara berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang diiktiraf sebagai menara tertinggi di dunia sebelum dipintas oleh Burj Khalifa, Dubai dan Taipei 101.
Kekaguman orang luar untuk melihat bangunan ikonik itu meletakkan Malaysia antara destinasi pelancongan popular dalam dan luar negara.
Terkini, Malaysia bakal menjadi sebutan dengan kehadiran bangunan Merdeka 118 yang juga dikenali sebagai PNB 118. Ia dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat pengurusan aset terbesar negara kita, PNB (Permodalan Nasional Berhad) sekali gus menjadikan bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa, Dubai.
Perkongsian di twitter atas nama Skyscraphers MY berkongsi bebenang mengenai mercu tanda yang bakal membanggakan Malaysia kerana memiliki bangunan kedua tertinggi dunia.
Jom kenali Merdeka 118.
Bangunan ni nama rasminya ialah, Merdeka 118. Juga dikenali sebagai PNB 118. Ia dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat pengurusan aset terbesar negara kita, PNB (Permodalan Nasional Berhad).
Sebelum tu, walaupun bangunan ni sama warna biru dengan Menara Tun Razak Exchange (TRX), bangunan ni takde kaitan langsung dengan TRX. Korang jangan keliru pula. Menara TRX (kiri) dah siap dibina tahun 2019. Sedangkan Merdeka 118 (kanan) baru nak siap tahun depan, 2021.
Nama bangunan ni, Merdeka 118 adalah sempena lokasinya yang terletak di antara Stadium Merdeka & Stadium Negara. 118 tu pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan ni, 118 tingkat.
Rekaannya pula bukan biasa-biasa. Ia adalah berdasarkan “silhouette” imej Tunku Abdul Rahman (TAR) sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan “Merdeka!” pada 31 Ogos 1957.
Jadi, spire (tiang) dekat puncak menara ni bukan saja-saja pacak tau, tapi sebab ia melambangkan tangan TAR.
Bangunan ni dari bawah, sampai ke tiang puncaknya, dilitupi dengan kaca yang membentuk seperti kristal. Tapak asas menara ni yang berbentuk diamond adalah dari motif Songket Melayu.
Bentuk-bentuk segi tiga pelbagai saiz pada permukaannya pula melambangkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Keseluruhan kompleks Merdeka 118 ni dibangunkan dalam 3 fasa.
Fasa 1, menara 118 tingkat tu sendiri. Fasa 2, mall & taman rekreasi. Fasa 3, tiga buah menara kediaman kat sekeliling menara utama.
Fasa 1 & 2 akan siap pada 2021, manakala fasa 3 siap pada 2024.
Menara Merdeka 118 tu sendiri terdiri dari 3 bahagian; pejabat gred-A, hotel Park Hyatt & anjung tinjau.
Pejabat terdiri dari 83 tingkat, hotel 17 tingkat, manakala 18 selebihnya untuk ameniti seperti anjung tinjau, sky lobby, restoran, ruang VIP, dll.
Empat tingkat teratas menara ni menempatkan anjung tinjau & restoran. Anjung tinjau tu ada teropong macam kat Menara KL tu. Jadi, kita boleh tengok pemandangan bandaraya KL daripada paras ketinggian 500m. Anjung tinjau Merdeka 118 ni juga adalah yang TERTINGGI DI ASIA TENGGARA!
Kalau korang nak tau, lif tu juga adalah lif panel kaca yang TERTINGGI DI DUNIA! Nak naik dari tingkat 1 ke tingkat 118 ambil masa hanya 65 saat.
Selain tu, kat bawah menara ni pula ada shopping mall 7 tingkat.
Nun jauh ke hujung taman tu pula, disediakan platform untuk orang ramai ambil gambar. Platform ni berdekatan dengan stesen monorel Maharajalela. Kalau turun monorel tu, boleh terus jalan kaki ke sini.
Pada waktu malam, menara Merdeka 118 akan dinyalakan dengan light strip yang bercahaya & bergerak dari bucu ke bucu. Ia akan memberi pencahayaan yang berbeza dan futuristik jika dibandingkan dengan bangunan-bangunan lain di Kuala Lumpur.
Arkitek kepada Merdeka 118 ini adalah Fender Katsalidis yang berasal dari Australia. Diorang ni terkenal dengan Eureka Tower yang pernah menjadi bangunan tertinggi di Australia.
Setakat Ogos 2020, teras menara Merdeka 118 dah pun berjaya cecah tingkat tertingginya iaitu pada tingkat 118. Bangunan ni dirancang seawal tahun 2009, kemudian mula dibina pada 2014. Start dari 2018, menara ni slow2 naik sampailah sekarang dah ke paras terakhir.
Merdeka 118 bakal siap dan dibuka kepada umum pada tahun 2021. Ketinggiannya yang mencapai 635 meter menjadikannya sebagai bangunan tertinggi di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara & KEDUA TERTINGGI DI DUNIA.
Namun, ada ura-ura yg mengatakan ketinggiannya akan ditingkatkan sehingga mencapai 678.9 meter. Yang itu, sama-sama kita nantikan.
Apa pun, sebagai rakyat Malaysia, inilah bangunan kebanggaan kita semua.
Sebuah lagi kejayaan yang diraih oleh anak tempatan, Muhammad Salihin Mohd Sabri telah berjaya menyelesaikan kursus Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat di Colorado baru-baru ini.
Menerusi laman Instagram, Salihin meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa membantu serta menyokong usahanya selama ini.
Menjadi individu keempat di Malaysia yang berjaya menamatkan kursus di United States Air Force Academy, remaja berusia 23 tahun ini seakan tidak percaya dan jelasnya dia sudah bersedia untuk berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia.
Kejayaannya ini juga dihadiahkan kepada allahyarhamah ibunya yang telah meninggal dunia. Salihin berharap agar kejayaan ini dapat membanggakan arwah ibunya juga.
Tahniah sekali lagi Remaja ucapkan kepada Muhammad Salihin Mohd Sabri atas kejayaan yang diperoleh ini. Semoga lebih ramai anak muda mendapat inspirasi dan lebih berusaha gigih untuk mencapai kejayaan yang sama.