
Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian tragis di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas, Kota Bharu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 2.15 petang.
Menurut beliau, insiden itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II, manakala pemandu kenderaan terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 1.50 tengah hari apabila pemandu wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas sehingga melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau itu serta tiang batu surau terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pelajar yang maut dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian secara rasmi.
Dalam pada itu, pihak polis memaklumkan kes tersebut kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.