
Pelajar lelaki jatuh dari tingkat 3 asrama, kini bertarung nyawa di ICU selepas kejadian mengejut di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam. Insiden ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan ibu bapa, malah turut menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan pelajar yang tinggal di kawasan asrama.
Remaja berusia 15 tahun itu difahamkan jatuh dari bangunan asrama sekitar awal pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Menurut laporan, pelajar berkenaan telah menjalani pembedahan dan kini masih belum sedarkan diri. Pihak hospital memaklumkan bahawa mangsa dalam keadaan ditidurkan sementara menunggu imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
“ANAK SAYA TERBARING KAKU” – LUHAN IBU
Ibunya yang enggan dikenali meluahkan rasa sebak kerana hanya mampu melihat anaknya terbaring kaku di atas katil hospital.

“Saya tiba sekitar jam 4 pagi, tetapi tidak pasti bila kejadian sebenar berlaku. Saya cuma melihat anak saya sudah terbaring kaku di atas katil hospital. Saya hanya mampu bersabar dan menunggu di ruang bedah sejak awal pagi,” katanya.
Beliau turut menggambarkan anak ketiganya daripada empat beradik itu sebagai seorang yang baik, lemah lembut dan tidak pernah menimbulkan masalah.
POLIS SAHKAN SIASATAN DIBUKA
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, siasatan awal melibatkan pengambilan keterangan saksi-saksi dan masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada wujud unsur buli dalam kejadian ini.
KPM TAMPIL JELASKAN TINDAKAN SEKOLAH
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil menjelaskan tindakan pihak sekolah yang menghantar pelajar ke hospital sebelum memaklumkan kepada keluarga adalah wajar dalam situasi kecemasan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keselamatan pelajar perlu diutamakan berbanding prosedur lain ketika saat genting. Susulan kejadian tersebut, KPM telah menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan warden asrama ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk memberi laluan kepada siasatan dalaman.
KEPRIHATINAN MASYARAKAT
Kes ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat yang mahukan aspek keselamatan pelajar di kawasan asrama diberi perhatian serius. Ramai juga yang mendoakan agar pelajar terbabit segera sembuh dan kembali pulih.
✦ Majalah Remaja mendoakan agar pelajar ini diberi kekuatan untuk kembali pulih. Buat semua pembaca remaja, jadikan insiden ini sebagai peringatan agar lebih peka terhadap keselamatan diri, saling menjaga rakan sebilik dan segera melaporkan kepada warden sekiranya berlaku sesuatu yang mencurigakan di asrama.
Sumber: Harian Metro
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











