Berita

Seorang Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah, KPM Arah Audit Segera Di Sekolah

Share

Susulan kematian seorang pelajar tingkatan dua yang dikenali sebagai Muhammad Idlan Fareeq Bin Shahril, di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah pada 25 September lalu, seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.

“Saya dimaklumkan seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan. KPM (Kementerian Pendidikan) dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.

“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata aspek keselamatan serta pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh oleh pihak kementerian susulan kejadian berkenaan.

Selain itu, Jemaah Nazir turut diarahkan untuk menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan berkaitan aspek keselamatan dan tatacara di sekolah.

Pada masa yang sama, KPM menegaskan bahawa tiada pihak akan dilindungi sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, dengan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sementara itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian tersebut, selain memastikan kebajikan warga sekolah terus diberikan perhatian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE