Sukan

#GirlPower: Pearly Tan-M Thinaah Pamer Aksi Cemerlang! Raih Kejuaraan Di Terbuka Artik 2025

Share

Terbaru, gandingan jaguh beregu wanita utama negara, Pearly Tan (25) dan M. Thinaah (27) terus membuktikan keunggulan mereka di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 yang berlangsung di Vantaa, Finland. Kejayaan ini turut menyaksikan mereka membawa pulang kejuaraan Super 500 ketiga dalam karier dan menjadi gelaran kedua musim ini.

Menentang pasangan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Ki Nakanishi, Pearly-Thinaah tampil garang dengan kemenangan straight set 21-7, 21-9. Perlawanan yang hanya berlangsung selama 32 minit itu memperlihatkan dominasi penuh gandingan ranking kedua dunia tersebut tanpa memberi ruang kepada lawan untuk bangkit.

Dalam pada itu, pencapaian ini sekaligus menambah koleksi gemilang mereka selepas turut bergelar juara Terbuka Thailand pada Mei lalu. Selain itu, pasangan negara ini juga muncul naib juara di tiga kejohanan utama lain iaitu Terbuka Jepun, Indonesia dan Masters Indonesia sepanjang musim ini.

BACA: Pearly Tan-M. Thinaah Ulang Sejarah 2008, Rangkul Naib Juara Terbuka Jepun 2025

BACA: Pearly Tan-Thinaah Catat Sejarah Beregu Wanita Negara! Raih Gelaran Juara Terbuka Thailand

Kejayaan di Vantaa amat manis buat Pearly-Thinaah kerana mereka berjaya menebus kekecewaan edisi lalu, apabila tunduk kepada beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi final. Kali ini, mereka membuktikan kemampuan sebenar dengan persembahan penuh keyakinan di atas gelanggang.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi sebuah perkongsian di Facebook, beliau menyampaikan ucapan tahniah dan meluahkan keterujaannya menyaksikan persembahan cemerlang beregu wanita utama negara tersebut.

BACA: Jaguh Beregu Wanita Negara, Pearly Tan & M Thinaah Dilantik Sebagai Ikon Perpaduan 2025

Kredit foto: FB Badminton Association of Malaysia
Kredit foto: FB Badminton Association of Malaysia

“Saya sangat teruja, Pearly dan Thinaah benar-benar menakjubkan apabila berjaya menjuarai beregu wanita Terbuka Artik hari ini!” katanya.

“Konsistensi menghasilkan kejayaan dan itu merupakan kekuatan pemain Road To Gold kita yang terus cemerlang dalam kejohanan tahun ini. Tahniah dan teruskan bersinar! #RoadToGold,” ujarnya lagi.

Sementara itu, kejayaan ini juga menjadi motivasi tambahan buat gandingan ranking kedua dunia itu dalam misi mereka memburu lebih banyak gelaran musim ini selain meningkatkan ranking dan reputasi di pentas dunia. Ia juga memberi keyakinan tinggi kepada skuad negara menjelang kejohanan-kejohanan besar yang akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE