PdPR Tidak Halang Kejayaan, Penghantar Makanan Peroleh Keputusan Cemerlang STPM 2020

Share

Keputusan STPM 2020 telah pun diumumkan pada 1 Julai lalu dan menyaksikan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) bertambah dengan skor 2.78 berbanding 2.77 ketika STPM 2019.

Seorang penghantar makanan sambilan yang dikenali sebagai Muhammad Izzuddin Amirrudin tidak menyangka memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 dalam STPM.

Remaja berusia 20 tahun ini telah memulakan khidmat sebagai penghantar makanan GrabFood dua bulan lalu dan menjelaskan kepada BERNAMA

, dia menyemak keputusan tersebut secara online ketika sedang menunggu pesanan makanan pelanggan di restoran.
Foto: BERNAMA

Izzuddin menyimpan impian untuk menjadi seorang peguam kerana ingin berkhidmat kepada masyarakat dan dia berhasrat mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Heights ini berkata PdPR adalah antara cabaran yang perlu dilalui kerana dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri belajar tanpa bersemuka dengan guru-guru.

Capaian internet yang lemah juga menyukarkan PdPR dan ada masanya dia rasa patah semangat tetapi berkat sokongan daripada ibu bapa menyuntik kembali semangat remaja ini untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Antara resipi kejayaan cemerlang dalam STPM yang dilakukannya adalah rajin mengulang kaji di samping rajin membaca nota tambahan dengan melakukan penyelidikan di internet dan memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji.

Foto: Malaysiakini

Tambahnya lagi, bekerja sambilan sebagai penghantar makanan juga mendidiknya menjadi seorang yang amanah serta dapat memperkuatkan diri daripada aspek mental dan fizikal kerana situasi kerja yang tanpa mengira keadaan hujan atau panas.

Izzuddin telah membuktikan bahawa PdPR tidak menghalang dia untuk memperoleh keputusan cemerlang, asalkan sentiasa rajin berusaha dan melakukan ulang kaji. Diharap kejayaannya ini dapat memberikan semangat buat pelajar lain untuk tidak berputus asa, sebaliknya lebih gigih belajar ketika PdPR dijalankan.

Tahniah kami ucapkan buat Izzuddin.

Sumber: (1)

IKLAN