Berita

Nelydia Senrose Umum Hamil Cahaya Mata Pertama, Hadiah Istimewa Sempena Ulang Tahun Perkahwinan Ke-7

Share

Pelakon jelita, Nelydia Senrose berkongsi berita gembira apabila kini sedang hamil anak pertama hasil perkahwinannya bersama suami tercinta, Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid.

Lebih manis, berita kehamilan tersebut disifatkan sebagai hadiah paling bermakna sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka.


Perkara itu diumumkan sendiri oleh Nelydia menerusi sebuah video istimewa yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.

“Tujuh tahun yang indah dengan mencintai antara satu sama lain kini telah menjadi satu denyutan jantung.

“Selamat ulang tahun perkahwinan ketujuh buat kita berdua,” katanya dalam ruangan kapsyen.


Menerusi video berkenaan, Nelydia turut berkongsi imej imbas kandungannya, namun tidak mendedahkan secara terperinci usia kehamilan tersebut.

Perkongsian itu pantas menarik perhatian ramai apabila ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan artis serta peminat yang turut mendoakan agar segala urusan kehamilannya dipermudahkan.

Untuk rekod, Nelydia mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Hafez yang juga seorang ahli perniagaan pada 6 April 2019.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath