
Penyanyi yang juga juara Big Stage 2023, Nadeera Zaini, meluahkan rasa syukur apabila penampilannya sering menerima pujian daripada peminat yang menyifatkan dirinya kini kelihatan semakin cantik.
Menurut Nadeera, sebagai seorang anak seni, menjaga penampilan bukan sekadar pilihan, malah ia merupakan antara tanggungjawab yang perlu diberi perhatian. Disebabkan itu, dia sentiasa berusaha mengekalkan imej yang baik dengan mengamalkan pemakanan sihat dan memastikan bentuk badannya kekal ideal.
Menerusi laporan media tempatan, Nadeera berkata penampilan memainkan peranan penting dalam kerjayanya kerana peminat bukan sahaja ingin menikmati persembahan nyanyiannya, malah turut menghargai imej yang dibawakan.
“Alhamdulillah, saya gembira apabila ada yang menyukai penampilan saya. Sebagai penyanyi, saya perlu menjaga imej kerana peminat bukan sahaja mahu melihat kita menyanyi, tetapi juga menghargai penampilan yang menarik.
“Jadi, saya akan berusaha melakukan apa sahaja yang mampu, termasuk menjaga pemakanan dan mengamalkan diet supaya penampilan sentiasa sedap dipandang,” katanya.
Berkongsi mengenai rutin penjagaan diri, Nadeera berkata dia sentiasa memantau berat badannya agar tidak melebihi 45 kilogram.
Jelasnya, tubuhnya yang kecil menyebabkan ramai menganggap dia terlalu kurus, sedangkan berat badannya masih berada dalam keadaan yang normal bagi dirinya.
“Saya tidak rasa badan saya terlalu kurus. Mungkin kerana tubuh saya kecil dan tidak tinggi, jadi orang melihat saya seolah olah terlalu kurus.
“Kalau berat saya mencecah 45 kilogram, orang akan kata saya sudah berisi. Sebab itu saya cuba pastikan berat badan tidak sampai ke tahap itu.
“Bagaimanapun, berat badan saya masih dalam lingkungan 40 kilogram, tetapi biarlah angka sebenar itu menjadi rahsia saya,” katanya.
Bagi Nadeera, menjaga pemakanan dan mengekalkan berat badan bukan sekadar untuk kelihatan menarik di mata peminat, tetapi juga bagi memastikan dirinya sentiasa yakin serta bersedia memberikan persembahan terbaik setiap kali tampil di pentas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Utusan Online