Kerohanian

Mushaf Tulisan Tangan Allahyarham Nurly Shahirah Didigitalkan, Kini Dipamerkan Di UPSI

Share

Baru-baru ini, naskhah Al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman telah diserahkan buat sementara waktu kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan pendigitalan dan pameran umum.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, naskhah tersebut membuktikan ketekunan Allahyarham menyalin ayat suci Al-Quran sepanjang pengajian di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, dari Tingkatan Satu hingga Lima.

“Proses pendigitalan bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital berkualiti tinggi untuk dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad menjelaskan kerja pendigitalan dilaksanakan sepenuhnya oleh petugas Perpustakaan Digital UPSI (UDL) menggunakan imej resolusi tinggi agar setiap helaian direkodkan dengan tepat dan jelas.

Terangnya, usaha ini bukan sahaja mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia atau persekitaran, malah menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam. 

“Usaha ini juga menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah,” katanya.

Pada masa yang sama, ia juga bagi memberi peluang orang ramai mengenali lebih dekat khazanah berharga itu dan mushaf tulisan tangan Nurly dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.

“Pameran ini bukan sahaja menonjolkan keindahan seni tulisan tangan Al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan Allahyarham serta inspirasi buat generasi muda untuk mencintai Al-Quran,” jelas Noriha.

Untuk rekod, Allahyarham Nurly Shahirah sebelum ini antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan pada 9 Jun lalu apabila bas sewa khas dinaiki mereka dari Jerteh ke Tanjong Malim terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik. Kemalangan itu turut mencederakan 33 individu lain.

Sumber artikel: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE