
Terbaru, seorang anak tempatan yang bernama, Muhammad Izzahan Isman berjaya mencuri perhatian apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Amerika Syarikat dengan rekod pencapaian yang membanggakan.
Difahamkan, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Young Talent Development Programme (YTP) itu turut dikenali sebagai seorang bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor.
Menerusi beberapa foto yang dikongsikan oleh MARA USA di Facebook, Izzahan berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang sepanjang tempoh pengajiannya dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72. Pencapaian tersebut sekaligus membuktikan komitmennya dalam mengekalkan kecemerlangan akademik walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang berada di luar negara.
BACA: Antara 27 Bakat Terbaik Vertical Flight Dunia! Anak Terengganu Ini Raih PhD Kejuruteraan Aeroangkasa
Lebih membanggakan, beliau turut menerima beberapa pengiktirafan berprestij termasuk ‘Spartan Difference Award’ bagi kategori “Initiative” serta “Green Cranium Award – Problem Solving” sebagai penerima kehormat. Selain itu, Izzahan juga dianugerahkan ROTC Academic Ribbons hasil pencapaian akademik melebihi 3.5 sepanjang pengajiannya.
Pada masa yang sama, Izzahan aktif menjalani latihan ketenteraan menerusi Army Reserve Officers’ Training Corps (ROTC) sebagai kadet di Spartan Battalion. Penglibatan beliau dalam program tersebut memperlihatkan keupayaannya mengimbangi tuntutan akademik dan latihan kepimpinan yang memerlukan tahap disiplin serta ketahanan diri yang tinggi.
Sepanjang menyertai latihan berkenaan, beliau diberi peluang memimpin pasukan dalam latihan STX Lanes dan berjaya mengaplikasikan prosedur kepimpinan ketenteraan serta strategi taktikal dengan berkesan. Pengalaman tersebut turut membantu mengasah kemahiran membuat keputusan, komunikasi dan kepimpinan dalam situasi mencabar.
Usaha serta dedikasinya itu tidak terhenti di situ apabila beliau turut menerima pengiktirafan rasmi daripada Professor of Military Science, LTC Sisoura. Penghargaan tersebut diberikan atas profesionalisme yang ditunjukkan serta perkembangan kepimpinan yang memberangsangkan sepanjang penglibatannya dalam program ROTC.
Selain cemerlang dalam bidang akademik dan latihan ketenteraan, Izzahan juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk sebagai penganalisis ekonomi bagi College Fed Challenge. Beliau turut menyertai Personal Investment Club dan memegang peranan sebagai Public Relations Officer dalam Malaysian Student Organization, serta memperkukuhkan kemahiran kepimpinan serta jaringan profesionalnya.
Gabungan latar belakang sebagai pelajar tahfiz, graduan ekonomi, kadet ketenteraan dan pemimpin organisasi secara tidak langsung menjadikan Izzahan contoh anak muda Malaysia yang serba boleh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kejayaan yang diraih beliau bukan sahaja membanggakan keluarga dan institusi pendidikan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan serta menyumbang kembali kepada pembangunan negara.
Sumber artikel & foto: Facebook MARA USA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.